Pengurus baharu jadikan United lebih bahaya - Cech - Utusan Malaysia

Pengurus baharu jadikan United lebih bahaya – Cech

PEMAIN Manchester United menjalani latihan kelmarin dalam persiapan menghadapi Chelsea, pagi esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Petr Cech memberi amaran kepada Chelsea agar tidak memandang rendah kemampuan Manchester United dengan kehadiran pengurus sementara, Ralf Rangnick.

United yang tewas dalam dua perlawanan terakhir liga akan berdepan Blues yang berada pada prestasi terbaik dengan mengungguli Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge awal pagi esok.

Selepas memecat Ole Gunnar Solskjaer, Ahad lalu iaitu sehari setelah dimalukan 4-1 oleh Watford, Red Devils yang dibimbing Michael Carrick berjaya menumpaskan Villarreal 2-0 pada Liga Juara-Juara.

Semalam, kelab itu mengumumkan jurulatih berpengalaman Jerman, Rangnick akan menggalas tugas pengurus sementara sehingga akhir musim.

Rangnick mungkin tidak sempat tiba di England pada perlawanan menentang Chelsea, namun legenda Blues, Cech percaya, pelantikan jurulatih berusia 66 tahun itu yang akan bekerjasama dengan Carrick tidak harus dipandang ringan.

“Di Czech, kami ada pepatah ‘penyapu baharu menyapu ­lebih bersih’.

“Situasi selalunya sangat berliku bila anda menentang pasukan yang dipimpin pengurus baharu.

“Itulah keadaan di Manchester United. Bila anda menukar pengurus, hala tuju juga akan berubah.

“Secara tiba-tiba, semua akan bermula dari garis yang sama sekali lagi. Pengurus baharu akan membawa idea baharu, dari segi taktik dan strategi,” kata Cech yang juga Pengarah Teknikal dan Prestasi Chelsea.

Bekas penjaga gol Blues itu berkata, kehadiran pe­ngendali baharu juga memberi harapan dan motivasi kepada pemain yang selama ini hilang ­sema­ngat.

Rangnick yang pernah membimbing RB Leipzig, Schalke 04, 1899 Hoffenheim, Hannover 96 dan VfB Stuttgart dalam Liga Jerman akan bertindak sebagai penasihat kelab sebaik sahaja United membawa masuk Mauricio Pochettino selaku pengurus tetap musim depan.

Lima kekalahan yang dicatat musim ini meletakkan Red De­vils di tangga kelapan Liga Perdana Inggeris dengan 17 mata. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya