KOTA BHARU: Kelantan kehilangan seorang anak kelahiran negeri ini iaitu Allahyarhamah Dr. Ainul Baraah Kamaruddin ‘gugur’ dalam nahas helikopter di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Marudi, Sarawak, petang kelmarin.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, Allahyarhamah pergi semasa sedang berkhidmat, membawa rawatan dan harapan kepada mereka yang memerlukan di kawasan pedalaman.
“Kelantan kehilangan seorang anak yang telah mengabdikan ilmu dan khidmatnya jauh di pedalaman demi kemanusiaan.
“Salam takziah buat seluruh keluarga mangsa terlibat. Semoga Allah SWT merahmati Allahyarhamah, menerima segala khidmat baktinya sebagai amal soleh dan menempatkannya bersama para solihin,” tulisnya dalam satu hantaran dilaman sosial Facebook miliknya hari ini.
Utusan Malaysia, sebelum itu melaporkan, seorang juruterbang dan empat penumpang helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) disahkan maut selepas pesawat itu terhempas di Long Lellang STOLport petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang berkata, kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter berkenaan disahkan meninggal dunia dalam nahas kira-kira pukul 3.40 petang itu.
“Malangnya, kesemua lima orang di dalam pesawat telah meninggal dunia seperti yang disahkan menerusi laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan,” katanya.-UTUSAN









