PETALING JAYA: Syarikat dari Malaysia yang mempunyai kepentingan dalam industri perladangan serta perhutanan di Indonesia perlu dipertanggungjawabkan terhadap krisis jerebu rentas sempadan di rantau ini.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, tanggungjawab terhadap kemusnahan ekologi tidak boleh terhenti pada sempadan sesebuah negara memandangkan kesan kebakaran hutan dan tanah gambut turut merentasi sempadan.
Menurutnya, rakyat di rantau ini sudah terlalu lama menanggung kesan kemusnahan ekologi yang berulang.
“Apabila hutan dan tanah gambut dimusnahkan, kebakaran tidak mengenal sempadan negara. Oleh itu, pertanggungjawaban juga tidak seharusnya terhenti pada sempadan negara.
“Badan korporat, pemilik modal dan negara yang menjadi hab pelaburan semuanya perlu dipertanggungjawabkan,” katanya dalam kenyataan bersama Friends of the Earth Asia Pacific (FoE APAC).
FoE APAC diwakili oleh Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI), SAM dan Legal Rights and Natural Resources Center (LRC) dari Filipina.
Semalam media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara ini tidak akan melindungi mana-mana syarikat yang didapati terlibat dalam aktiviti pembakaran hutan di Indonesia yang membawa kepada isu jerebu rentas sempadan.
Anwar berkata, Indonesia wajar diberi ruang untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat yang terbukti terlibat dalam perkara itu.
Sementara itu, kenyataan itu berkata, pihak yang perlu bertanggungjawab terhadap krisis tersebut tidak terletak kepada kerajaan Indonesia semata-mata.
“Syarikat yang beroperasi, mempunyai pelaburan, memegang saham, menjalinkan hubungan perniagaan atau mempunyai kawalan terhadap industri perladangan dan perhutanan di Indonesia juga perlu dipertanggungjawabkan.
“Ini termasuk syarikat dan kumpulan perniagaan yang mempunyai hubungan modal, kepentingan pemilikan atau kawalan dari Malaysia dan Singapura,” katanya.
FoE APAC berkata, krisis jerebu rentas sempadan yang berulang tidak lagi boleh dianggap sebagai bencana bermusim semata-mata, sebaliknya perlu dilihat sebagai krisis ekologi.
Katanya, kebakaran hutan berulang adalah kerana kerosakan sistematik terhadap ekosistem hutan dan tanah gambut menerusi penebangan hutan, saliran tanah gambut, peluasan ladang monokultur serta kelemahan pengawasan terhadap aktiviti korporat.
“Apabila kerosakan sedemikian berlaku secara besar-besaran, berulang serta menyebabkan kesan serius dan berpanjangan terhadap kehidupan manusia dan ekosistem.
“Masyarakat antarabangsa perlu mula melihatnya sebagai satu bentuk jenayah alam sekitar yang memerlukan pertanggungjawaban lebih tegas,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa digesa memperkukuh pengiktirafan serta pembangunan kerangka perundangan antarabangsa mengenai ekosid, khususnya membabitkan kemusnahan alam sekitar berskala besar dan sistematik.
“Dunia memerlukan mekanisme perundangan lebih kukuh bagi memastikan negara, syarikat, pemilik modal dan pihak yang meraih keuntungan daripada kemusnahan alam sekitar tidak terus terlepas daripada pertanggungjawaban,” katanya.
Tambahnya, ASEAN juga perlu memastikan ketelusan mengenai punca kebakaran, keadaan kawasan hutan dan tanah gambut serta syarikat yang beroperasi di kawasan terjejas. – UTUSAN









