MSN perlu lebih proaktif bangunkan sukan - Utusan Malaysia

MSN perlu lebih proaktif bangunkan sukan

KHAIRUL Shahril Mohamed (depan, lima dari kiri) bergambar bersama tetamu dan pemain pasukan Anderson Thunderbolts pada majlis penyerahan jersi pasukan itu untuk Liga Hoki Remaja Kebangsaan 2021 di Kelab Andersonian di Ipoh hari ini. - UTUSAN/AZIZAN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak perlu memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan sukan negeri, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed.

Menurutnya, sebagai pemegang taruh terbesar dalam bidang sukan, MSN Perak tidak boleh mengambil sikap menunggu pihak lain datang untuk mengadu hal.

Sebaliknya, katanya, pihak MSN sendiri perlu pergi kepada pihak berkenaan untuk menawarkan kerjasama.

“Mereka selaku pemegang taruh utama sukan negeri harus peka dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan jersi pasukan hoki Anderson Thunderbolts untuk Liga Hoki Remaja Kebangsaan 2021 di Kelab Andersonian di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar (State Stakeholder Affairs TNB Perak), Datuk Sharuddin Mohd Simin; Presiden The Andersonians Club, Dr. Kamaruddin Alias dan Pengetua SMK Anderson, Wan Shaiful Mohamed Idris.

Khairul Shahril memberi contoh, MSN perlu menjadikan sekolah-sekolah cemerlang sukan seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson sebagai rakan strategik.

“Maksudnya jangan tunggu Anderson datang, baru mereka nak bantu, saya minta supaya mereka sendiri datang ke Anderson untuk tawarkan apa yang perlu mereka koloberasi bersama kerana apa yang berlaku di Anderson ini adalah untuk negeri juga,” ujarnya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada SMK Anderson kerana berjaya mewujudkan perkongsian bijak dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang telah membantu pembangunan sukan hoki sejak tahun 2013.

Dalam masa sama, beliau berharap bekas-bekas pelajar yang telah berjaya agar bersama-sama membantu semula sekolah mereka dalam bidang yang sesuai.

Dalam pada itu, Khairul Shahril berkata, pihaknya bersedia menimbangkan cadangan untuk menjadikan SMK Anderson sebagai pusat latihan kecemerlangan untuk sukan hoki, bola sepak dan kriket.

“Sebenarnya pusat latihan daerah memang sudah ada di sini, cuma bila kita lihat dari segi hasil, sewajarnya ia di pertimbangkan untuk dinaik taraf atau diangkat lebih tinggi daripada sekarang.

“Cuma saya akan perhalusi perkara ini dengan pihak kementerian dan juga pihak negeri mengenai kesesuaiannya,” katanya.

Sementara itu, Sharuddin berkata, TNB menyalurkan bantuan hampir RM200,000 setahun bagi membangunkan sukan hoki di SMK Anderson yang merupakan antara lima sekolah yang dipilih di seluruh negara.

Menurutnya, itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB untuk pembangunan sukan di seluruh negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya