fbpx

Malaysia mara ke suku akhir Piala Dunia Remaja

PEMAIN Malaysia meraikan jaringan ke atas Afrika Selatan dalam saingan Piala Dunia Remaja di Bhubaneswar, India hari ini.

PETALING JAYA: Skuad hoki negara meneruskan kecemerlangan dalam Piala Dunia Remaja selepas mengesahkan tiket ke suku akhir dengan menumpaskan Afrika Selatan 4-3 di Bhubaneswar, India sebentar tadi.

Selepas menumpaskan Chile 2-1 dan seri 1-1 dengan Belgium dalam dua aksi pembukaan, kemenangan ke atas Afrika Selatan membolehkan Malaysia menduduki tangga teratas Kumpulan A dengan mengutip tujuh mata.

Sama ada Malaysia akan mara selaku juara kumpulan atau naib juara bergantung kepada keputusan perlawanan Belgium-Chile yang berlangsung selepas ini.

Naib juara 2016, Belgium yang mengekori di tangga kedua dengan empat mata akan muncul juara jika mengalahkan Chile.

Sekiranya muncul naib juara, Malaysia akan menentang juara Kumpulan B, Perancis yang menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat di suku akhir.

Dalam aksi hari ini, Muhammad Fahmi Khalid menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-29 untuk Malaysia mendahului 1-0.

Afrika Selatan bagaimanapun menyamakan kedudukan juga menerusi pukulan sudut penalti Guy Morgan pada minit ke-34, sebelum Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin kembali meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-41.

Perlawanan semakin sengit apabila Afrika Selatan sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Jared Campbell pada minit ke-48.

AFRIKA Selatan memberi tentangan sengit kepada Malaysia dalam saingan Kumpulan A, Piala Dunia Remaja di Bhubaneswar, India hari ini.

Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Shamir Rizmi Mohd. Shamsul menyumbang gol ketiga Malaysia di minit ke-49, sebelum Afrika Selatan bangkit menyamakan kedudukan buat kali ketiga menerusi gol Campbell pada minit ke-54.

Mohamad Akhimullah Anuar akhirnya mengesahkan kemenangan skuad bimbingan Wallace Tan apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-56.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam Piala Remaja Dunia adalah menamatkan kempen di tangga keempat pada 2013.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!