fbpx

Wanita punca kemalangan TdF mungkin terlepas hukuman penjara

TINDAKAN wanita berkenaan membawa papan terlalu hampir dengan pelumba menyebabkan kemalangan buruk berlaku pada perlumbaan Tour de France, 26 Jun lalu.

BREST, Perancis: Wanita yang menjadi punca kemalangan besar dalam sejarah Tour de France (TdF), Jun lalu dihadapkan di mahkamah semalam dengan pelbagai dakwaan menyebabkan ramai pelumba cedera.

Bagaimanapun, wanita berusia 31 tahun itu yang dirahsiakan identitinya mungkin terlepas hukuman penjara selepas pendakwa raya meminta hukuman ditangguhkan.

Dia yang memakai baju sejuk berwarna biru mengelak daripada diserbu wartawan yang menantinya di mahkamah.

Bagaimanapun, hakim yang mengadili kes berkenaan menolak permintaan peguamnya yang meminta perbicaraan diadakan secara tertutup.

Pihak pendakwaan meminta agar dia dijatuhkan hukuman penjara selama empat bulan atas tuduhan membahayakan nyawa dan menyebabkan kecederaan yang tidak disengajakan.

RAMAI pelumba mengalami kecederaan dan ada yang terpaksa menarik diri pada Tour de France 2021 akibat kemalangan di peringkat pertama, 26 Jun lalu.

Di bawah undang-undang Perancis, dia boleh berdepan denda hingga 15,000 euro (RM72,224) dan setahun penjara atas kesalahan berkenaan.

Pendakwa raya, Solenn Briand menjelaskan wanita itu menyedari ‘betapa bahaya’ tindakannya dan menyatakan rasa kesal.

Perbicaraan ditangguhkan untuk menanti penghakiman pada 9 Disember ini.

Dia yang sebelum ini berdiri terlalu rapat dengan peloton yang penuh sesak melalui jalan sempit menuju penamat di Landerneau di barat Perancis.

Pelumba Jerman, Tony Martin tidak dapat mengelak dari melanggarnya dan jatuh, memaksa puluhan pelumba lain turut terjatuh, manakala yang lain terpaksa mengelak sebelum merempuh penonton di tepi jalan. – AFP

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!