Tolong jaga disiplin, bertanggungjawab - Utusan Malaysia

Tolong jaga disiplin, bertanggungjawab

AB. GHANI HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mahu apa yang berlaku kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) menjadi iktibar kepada pasukan lain agar lebih berdisiplin dan tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap Covid-19.

Presiden MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan menyeru pemain, pegawai, penyokong dan semua yang terlibat agar lebih bertanggungjawab supaya perjalanan Piala Malaysia yang bersambung, Jumaat depan, selain Liga Malaysia 2022 berjalan lancar.

Katanya, segala prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 telah ditetapkan, namun setegas mana pun peraturan jika gagal dipatuhi maka tiada gunanya.

PASUKAN Negeri Sembilan terpaksa menarik diri daripada kempen Piala Malaysia selepas lebih separuh pemain dijangkiti Covid-19. – IHSAN NEGERI SEMBILAN FC

“Dalam kes Negeri Sembilan, kita sendiri tidak pasti bagaimana ia boleh berlaku sebab daripada seorang pemain merebak kepada seluruh pasukan.

“MFL kesal atas apa yang terjadi, apatah lagi mereka ada harapan untuk melangkah ­lebih jauh dalam Piala Malaysia.

“Apa yang MFL harapkan semua pasukan melakukan pemantauan lebih ketat, termasuk pergerakan pemain dan pegawai walaupun selepas latihan atau sebagainya.

“Semua orang mempunyai MySejahtera dan pengesahan harian perlu dibuat kerana pengurusan adalah majikan dan jika berlaku perkara seperti ini, maka ia kerugian kepada mana-mana pasukan.

“Bermula 29 Oktober ­penyokong sudah dapat masuk ke stadium, jadi ia amat malang bagi Negeri Sembilan dan kita sangat berharap ia tidak berlaku kepada pasukan lain,” katanya kepada Mingguan ­Malaysia semalam.

Kelmarin, Negeri Sembilan mengesahkan 20 pemain dan empat pegawai mereka positif Covid-19 hingga memaksa pa­sukan melupakan kempen ­Piala Malaysia yang bersambung minggu depan.

Tiga pasukan yang berada dalam Kumpulan C bersama skuad Hobin Jang Hobin, Kedah, Melaka United dan Kelantan United diberi kemenangan percuma 3-0.

Ketika ditanya adakah kes Negeri Sembilan bakal memberi impak kepada kebenaran kerajaan membenarkan kemasukan penonton ke stadium, Ghani menegaskan setakat ini tiada sebarang perubahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya