fbpx

6 Disember 2021, 2:20 pm

  TERKINI

‘Saya mahu buat lebih baik dari dulu’

REXY MAINAKY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sembilan tahun selepas meninggalkan Malaysia, Rexy Mainaky berjanji akan membawa badminton negara ke tahap lebih tinggi berban­ding sepanjang tujuh tahun membimbing skuad kebangsaan dari 2005 hingga 2012.

Legenda Indonesia itu berkata, perancangan jangka panjang Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebab utama beliau me­nerima lamaran kembali ke negara ini sebaik sahaja kontrak empat tahun di Thailand berakhir bulan ini.

Rexy, 53, juara Olimpik 1996, selain pemenang kejuaraan dunia 1993, 1995 dan 1997 bersama Ricky Subagja adalah jurulatih yang mengangkat beregu lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Mohd. Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari.

Antara pencapaian terbaik Kien Keat-Boon Heong adalah muncul juara All England (2007), meraih emas Sukan Asia (2006) dan bergelar No. 1 dunia.
Zakry-Fairuzizuan juga pernah menghuni ranking No. 1 ­dunia di bawah Rexy.

KOO Kien Keat-Tan Boon Heong ketika muncul juara All England 2007.

“Harapan saya dapat buat lebih baik lagi daripada apa yang saya lakukan sebelum ini.

“Mengapa kembali ke Malaysia? Program BAM cukup bagus. Mereka sudah persiapkan pemain muda untuk Olimpik 2028, selain mempunyai program untuk Olimpik 2024 juga.

“Saya percaya Malaysia ada potensi yang cerah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Fokus utama Rexy yang akan melapor diri sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan BAM pada 1 Disember ini lebih terarah kepada saingan beregu.

Katanya, Malaysia memiliki ramai beregu berpotensi se­perti Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin-Goh Sze Fei, namun mereka kurang konsisten.

Selepas meninggalkan Malaysia pada 2012, Rexy menghabiskan setahun di Filipina sebelum kembali ke Indonesia sebagai Pengarah ­Prestasi Tinggi.

Dia kemudian dilantik sebagai Ketua Jurulatih Thailand pada 2017.

Rexy membawa Thailand muncul naib juara Piala Uber di Bangkok, tiga tahun lalu.

Kantaphon Wangcharoen juga muncul perseorangan lelaki pertama mereka meraih gangsa Kejohanan Dunia, tahun lalu.

Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Tae­rattanachai pula menjadi pasangan pertama la­yak ke final beregu campuran.

POPULAR

KOSMO! TERKINI