Wanita PKR Pusat ambil alih pentadbiran Wanita Cabang Shah Alam

Wanita PKR Pusat ambil alih pentadbiran Wanita Cabang Shah Alam

SANGETHA JAYAKUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat mengambil alih, menyelia dan menguruskan semua urusan pentadbiran Wanita Cabang Shah Alam berkuat kuasa serta-merta susulan kegagalan melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang (MATWC) dalam tempoh ditetapkan.

Setiausaha Wanita PKR Pusat, Sangetha Jayakumar berkata, tindakan itu diambil selaras dengan Peraturan Tetap Wanita Keadilan bagi memastikan kebajikan serta aktiviti ahli di peringkat Shah Alam tidak terjejas.

Katanya, sebagai sebahagian daripada tatacara pengurusan tahunan parti, semua sayap Wanita di peringkat cabang seluruh negara diwajibkan melaksanakan MATWC dalam tempoh ditetapkan bagi memelihara integriti organisasi serta mandat kepimpinan.

“Bagaimanapun, meskipun tempoh telah dilanjutkan dan bimbingan diberikan, Wanita Cabang Shah Alam masih gagal melaksanakan tanggungjawab perlembagaan tersebut untuk mengadakan MATWC sehingga ke hari ini.

“Keadilan mengambil maklum akan berita dan perbincangan yang sedang tular mengenai Wanita Keadilan Cabang Shah Alam.

“Kami ingin memberi jaminan kepada semua anggota dan masyarakat umum bahawa keadaan adalah terkawal sepenuhnya dan pimpinan sayap kekal fokus kepada tanggungjawab tadbir urus parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sangetha berkata, Wanita PKR sentiasa bergerak berlandaskan prinsip akauntabiliti, disiplin dan peraturan, justeru tindakan intervensi pentadbiran itu diambil selaras dengan Peraturan Tetap Wanita Keadilan.

Katanya, langkah intervensi pentadbiran ini adalah tindakan rutin demi membetulkan kelewatan tadbir urus dan memperkukuh struktur parti.

Sehubungan itu, semua ahli akar umbi di Shah Alam diminta kekal tenang dan bersatu hati, selain memberi jaminan bahawa keadaan adalah terkawal sepenuhnya.

“Wanita Keadilan kekal utuh, teratur dan komited sepenuhnya untuk memacu sayap ini ke hadapan tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Sebelum ini, seramai 21 ahli jawatankuasa (AJK) PKR Cabang Shah Alam dilaporkan meletakkan jawatan dan mengisytihar keluar parti serta-merta.

Tindakan tersebut didakwa dilakukan selepas kecewa dengan kepemimpinan parti di peringkat pusat dan cabang terutama apabila mereka mendakwa tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan untuk membuat keputusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN