Malaysia lakar kejutan mara ke separuh akhir Piala Sudirman - Utusan Malaysia

Malaysia lakar kejutan mara ke separuh akhir Piala Sudirman

LEE ZII JIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mengejutkan beregu No. 4 dunia, Praveen Jordan-Melati Oktavianti dalam aksi penentuan untuk membawa Malaysia ke separuh akhir badminton Piala Sudirman di Vantaa, Finland.

Biarpun menghantar pasukan termuda dalam kejohanan, Malaysia berjaya menyingkirkan lawan yang jauh lebih berpengalaman, Indonesia 3-2 pada suku akhir sebentar tadi.

Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia menewaskan Indonesia pada kejohanan Piala Sudirman.

Kemenangan dalam pertarungan hampir enam jam itu menyamai pencapaian terbaik skuad badminton negara di Guangzhou, China pada 2009 yang turut menyaksikan Malaysia mara ke separuh akhir.

Malaysia bakal menentang pasukan yang menewaskan mereka 4-1 di peringkat kumpulan semalam, Jepun dalam separuh akhir hari ini (9 malam).

Jepun mara selepas menyingkirkan Taiwan 3-1 dalam satu lagi saingan suku akhir.

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rekod tanpa kalah di Finland dengan menumpaskan Marcus Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo 21-12, 21-15 untuk memberi mata pertama Malaysia.

S. Kisona memberi tentangan hebat kepada Gregoria Mariska Tunjung sebelum akur 20-22, 21-18, 19-21 dalam perseorangan wanita untuk Indonesia menyamakan kedudukan 1-1.

Juara All England, Lee Zii Jia kembali meletakkan Malaysia di depan selepas menumpaskan pemain No. 5 dunia, Anthony Ginting 21-11, 21-16.

Beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah hampir mengejutkan juara Olimpik, Greysia Polii-Apriyani Rahayu sebelum kalah 20-22, 21-17, 18-21 dalam pertarungan 1 jam 30 minit untuk Indonesia kembali menyamakan kedudukan 2-2.

Pasangan No. 27 dunia, Pang Ron-Yee See yang beraksi dalam kejohanan pertama mereka selepas enam bulan akhirnya memberi mata kemenangan paling mengejutkan dengan menewaskan Praveen-Melati 21-19, 9-21, 21-16.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.