Bajet 2022: Harap lebih banyak dana disuntik untuk e-sport - Utusan Malaysia

Bajet 2022: Harap lebih banyak dana disuntik untuk e-sport

E-Sukan turut mendapat dana dalam Bajet 2022.

PETALING JAYA: Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) berharap kerajaan dapat me­nyuntik lebih banyak dana kepada pembangunan e-sukan negara khususnya dalam aspek pembangunan permainan video dalam pembentangan Bajet 2022 hari ini.

Presiden MESF, Datuk Ananth S. Nathan berkata, kerajaan perlu melihat e-sukan sebagai industri yang berpotensi besar untuk memberi pulangan ekonomi dan bukan sekadar sebuah aktiviti sukan biasa.

“Hakikatnya, Malaysia mempunyai ramai anak muda yang berbakat di dalam bidang teknologi khususnya dalam aspek pembangunan permainan video.

“Amat rugi sekiranya kita tidak mengambil inisiatif untuk membantu kelompok ‘young developers’ yang akhirnya nanti boleh membawa kepada kebocoran bakat serta modal insan.

“Siapa tahu, permulaan yang kita lakukan hari ini, akan melahirkan sebuah permainan video berkelas dunia yang menjadi permainan di peringkat ­Olimpik,” katanya semalam.

Dalam masa sama, Ananth berkata, sudah tiba masa industri e-sukan, terutama pemain industri tempatan mengorak langkah meneroka segmen pembangunan permainan video.

“Ia secara tidak langsung akan membuka lebih banyak peluang karier secara profesional kepada anak-anak tempatan seperti game developer, gamer publisher, caster, marshal, jurulatih, pengurus pasukan dan sebagainya.

“Selain itu, ia juga akan melahirkan lebih ramai atlet e-sukan profesional,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN