NEW YORK: Selepas melepasi 27 halangan, Novak Djokovic hanya perlu mengatasi satu lagi cabaran untuk melengkapkan misi merangkul 21 gelaran Grand Slam, sekali gus memahat nama dalam Dewan Kemasyhuran tenis dunia.
Lawan yang bakal ditentang di final Terbuka Amerika Syarikat (AS) esok, Daniil Medvedev juga akan memahat sejarah memenangi Grand Slam pertamanya jika menang di Stadium Arthur Ashe.
Turun sebagai pemain pemain No. 1 dunia, Djokovic berhempas pulas menyingkirkan juara Olimpik yang juga pilihan keempat dari Jerman,

Jaguh Serbia itu perlu mencatat 28 kemenangan (tujuh perlawanan di Terbuka Australia, Perancis, Wimbledon dan AS) untuk menyapu bersih empat kejuaraan Grand Slam yang dipertandingkan semusim.
Dalam sejarah tenis, hanya dua pemain lelaki pernah menjuarai semua Grand Slam pada musim yang sama – Don Budge (Amerika Syarikat, 1938) dan Rod Laver (Australia, 1969).
“Saya tahu semua mahu dengar saya bercakap tentang perkara itu tapi ketika ini, tiada apa yang hendak diperkatakan.
“Saya akan melayan perlawanan seterusnya seperti perlawanan terakhir dalam karier. Ayuh lakukan! Saya akan beri segala-galanya,” kata pemain berusia 34 tahun itu.

Djokovic yang memburu gelaran Terbuka AS keempat akan menyamai rekod pemenang Grand Slam terbanyak bersama Roger Federer dan Rafael Nadal jika melakar kemenangan.
Sedar semua tumpuan terarah kepada Djokovic, Medvedev yang sudah penat sering tewas dalam final Grand Slam berharap peluang ketiga esok berakhir dengan kemenangan.
Jaguh Rusia berusia 25 tahun itu mara ke final Terbuka AS buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun selepas menewaskan pilihan ke-12 dari Kanada, Felix Auger-Aliassime 6-4, 7-5, 6-2.
Medvedev kalah kepada Nadal di final Terbuka AS 2019 dan Terbuka Australia, Februari lalu di tangan Djokovic.
“Semakin anda kehilangan sesuatu, semakin anda mahu memenangi dan mendapatkannya,” kata Medvedev. – AGENSI