Malayan Tigress raih 3 mata - Utusan Malaysia

Malayan Tigress raih 3 mata

PEMAIN Malaysia meraikan jaringan pertama mereka ketika menentang Palestin di Stadium Faisal Al Husseini, Tebing Barat hari ini. - IHSAN AFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menumpaskan Palestin 2-0 dalam saingan Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia Wanita 2022 sebentar tadi, namun kemenangan itu tidak cukup untuk menghidupkan peluang layak ke pusingan akhir di India tahun depan.

Selepas kalah 0-4 kepada Thailand dalam aksi pembukaan, pasukan negara memerlukan kemenangan besar sambil berharap Palestin menumpaskan Thailand dalam aksi terakhir kumpulan Sabtu ini.

Malaysia yang terdesak untuk menghidupkan peluang selepas kekalahan kepada Thailand memulakan aksi dengan agresif dan memperoleh peluang terbaik menerusi Henrietta Justine yang melakukan percubaan selepas penjaga gol lawan, Leen Qaraqra keluar dari posisi, namun tendangannya sedikit tersasar.

Pasukan negara menguasai permainan dan memaksa Palestin lebih banyak bertahan, namun tiada jaringan berjaya dihasilkan pada babak pertama biarpun beberapa percubaan dilancarkan.

Memasuki babak, Malaysia menggandakan asakan di Stadium Faisal Al Husseini, Tebing Barat dan akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-57 menerusi Andrea Lee.

AKSI Malaysia ketika menentang Palestin dalam kelayakan Piala Asia Wanita 2020 hari ini.

Jaringan berpunca dari hantaran Jaciah Jumilis yang gagal ditolak kemas pertahanan lawan untuk membolehkan Malini Nordin menendang bola lantun dari jarak dekat sebelum disudahkan oleh Andrea.

Pasukan negara melancarkan beberapa lagi percubaan menerusi Henrietta dan Andrea dalam usaha menambah jaringan tetapi tidak berhasil.

Bagaimanapun ketika saingan berbaki lapan minit untuk ditamatkan, ketua pasukan, Steffi Sarge Kaur berjaya membolosi gawang tuan rumah menerusi sepakan percuma dari jarak 20 ela.

Walaupun meraih tiga mata penting, namun peluang untuk skuad wanita negara melangkah ke pusingan akhir tampak masih sukar kerana hanya juara kumpulan yang akan layak.

Thailand hanya memerlukan keputusan seri apabila berdepan Palestin, Sabtu ini untuk muncul juara kumpulan dan mengesahkan tempat di pusingan akhir.

Pusingan akhir Piala Asia Wanita 2022 dijadualkan berlangsung di India pada 20 Januari hingga 6 Februari 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya