LONDON: Pertahanan kental, Virgil van Dijk memeterai kontrak jangka panjang baharu bersama Liverpool yang akan mengikatnya di Anfield sehingga 2025.
Kapten Belanda itu, yang tersisih selama sembilan bulan akibat kecederaan lutut menyatakan komitmen terhadap Reds sejurus selepas membuat kepulangan semula, awal bulan lalu.
Kontrak Van Dijk sebelum ini dilanjutkan hingga 2023 tetapi bekas pemain Southampton itu sekali lagi bersetuju melanjutkan masa depannya di Merseyside untuk dua musim lagi.
“Menakjubkan. Ia sesuatu yang membanggakan. Isteri dan anak-anak turut bangga dengan keputusan ini.
“Semua pihak bekerja keras atas apa yang telah kami lakukan selama ini dan saya sedia mengharungi cabaran bersama Liverpool pada masa depan. Saya sangat gembira,” katanya.
Bekas tonggak Celtic itu menjadi kunci kejayaan Reds dengan membantu skuad kendalian Jurgen Klopp meraih trofi Liga Perdana Inggeris selepas 30 tahun, memenangi Liga Juara-Juara, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab.
Pemain berusia 30 tahun itu, telah membuat 130 penampilan bersama Liverpool. – AGENSI