PETALING JAYA: Projek naturalisasi yang menimbulkan banyak perdebatan selepas kegagalan Harimau Malaya meneruskan kemaraan pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 ditangguhkan seketika sehingga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selesai membuat ‘bedah siasat’.
Dalam Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi Penggal 2021-2025, semalam, badan bola sepak negara itu bersetuju tiga jawatankuasa iaitu Teknikal dan Belia di bawah Datuk S. Sivasundaram, Jawatankuasa Naturalisasi (Datuk Yusoff Mahadi) serta Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan akan menjalankan bedah siasat terhadap projek berkenaan.
Sama ada projek berkenaan akan diteruskan atau tidak, ia bergantung kepada laporan penuh yang diterima daripada ketiga-tiga jawatankuasa tersebut.
“Projek naturalisasi menjadi isu di mana sebahagian netizen dan peminat ada yang sokong serta tidak menyokong. Ia perkara yang dibenarkan oleh FIFA (badan bola sepak dunia).
“Mesyuarat tadi telah memutuskan untuk menangguh projek naturalisasi buat sementara waktu bagi menunggu laporan tiga jawatankuasa itu untuk memperhalusi perkara tersebut sebelum dibincangkan semula oleh exco.

“Mungkin proses akan mengambil masa dua ke tiga bulan dan selepas itu kita akan buat keputusan terbaik.
“Namun, kelab-kelab yang ingin menaturalisasikan pemain seperti dilakukan Pahang kepada (Mohamadou) Sumareh tiada halangan,” kata kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam sidang akhbar secara maya semalam.
Setakat ini, hanya dua pemain naturalisasi direkruit oleh FAM iaitu Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi, manakala proses Mohamadou Sumareh dilakukan pasukan Pahang.

Hamidin turut menegaskan, buat masa ini hanya De Paula dan Liridon menjadi pemain naturalisasi terakhir kerana FAM tiada perancangan untuk menambah kuota dalam masa terdekat.
Pasukan negara akan menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual diadakan Februari tahun depan.
Perkiraan ranking terakhir setiap pasukan diambil kira dalam menentukan kedudukan pasukan dalam balang untuk undian pusingan ketiga yang akan dilakukan pada hujung Oktober nanti.
“Buat masa ini hanya dua pemain ini sahaja tiada penambahan. Kalau kita nak fikirkan (tambah) mungkin untuk pusingan seterusnya, itupun jika kita setuju projek ini diteruskan,” ujarnya.