Terjun dengan 'senyuman' bukan tekanan - Utusan Malaysia

Terjun dengan ‘senyuman’ bukan tekanan

Nur Dhabitah Sabri ketika melakukan terjunan dalam separuh akhir 3 meter papan anjal Sukan Olimpik 2020 di Tokyo semalam. – KAMARUL AKHIR/ASIANA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun tidak diletak sebagai prospek pingat, namun jika Nur Dhabitah Sabri mampu mengulangi penca­paian terbaik 344.40 mata yang dilakukan dalam Siri Terjun Dunia 2019 di London, tidak mustahil gangsa boleh diraih.

Semalam, penerjun negara yang tidak pernah lekang dengan senyuman itu mempamer aksi cemerlang dalam separuh akhir 3 meter papan anjal wanita Sukan Olimpik 2020 apabila menamatkan sai­ngan di tangga keenam, sekali gus layak ke final hari ini.

Dhabitah, 22, melengkapkan lima terjunan dengan 312.60 mata.

Seperti dijangka, dua pe­nerjun China mengungguli dua kedudukan teratas menerusi juara Olimpik 2016, Shi Tingmao (371.47) dan Wang Han (346.85).

Kata Dhabitah, pengorbanannya selama ini berbaloi selepas menjalani latihan keras bagi persiapan ke Olimpik, selain terpaksa berjauhan dengan ke­luarga disebabkan Covid-19.

Bagaimanapun dia enggan memberi tekanan kepada dirinya dan hanya ingin melakukan yang terbaik dalam setiap terjunan.

“Saya terharu dapat masuk final, selepas melalui kesukaran (disebabkan Covid-19) dan sedih tidak dapat jumpa keluarga sebelum datang ke sini.

“Alhamdulillah…Dalam minda saya tidak fikir apa-apa (setiap kali lakukan terjunan), hanya fokus sepenuhnya kepada rutin yang ingin dilakukan.

“Saya hanya ingin tenang dan menikmati suasana pertan­dingan.

“Untuk aksi hari ini (semalam) ia sudah berakhir, esok (hari ini) bermula dari awal semula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Hanya 12 daripada 18 peserta yang beraksi di separuh akhir layak meneruskan cabaran dalam perebutan pingat hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berharap Dhabitah dapat meneruskan momentum terjunan terbaiknya di pentas final.

“Saya berharap Bitah dapat melakukan terbaik semasa final nanti dan memecah pencapaian terbaiknya 344.40 yang dilakukan di Siri Dunia London 2018.

“Tahniah Bitah! teruskan fokus. Anda mampu melakukannya,” ujarnya.

Pada temasya Rio 2016, ­Dhabitah menutup kempen di tangga kesembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya