SOUTHAMPTON: Selepas membuka kempen dengan kemenangan besar 5-1 ke atas Leeds United minggu lalu, Manchester United terpaksa puas hati seri 1-1 dengan Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris sebentar tadi.
Penjaga gol, David de Gea menyelamatkan anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer daripada mengalami kekalahan di St. Mary’s apabila menafikan beberapa percubaan bahaya lawan.
Pemain Sepanyol itu turut menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi di hujung permainan dengan menafikan percubaan Adam Armstrong.
Biarpun Anthony Martial berpeluang meletakkan Red Devils di depan pada awal permainan, namun Southampton terlebih dulu mendahului menerusi gol sendiri Fred berpunca daripada rembatan
Che Adams pada minit ke-30.

Mason Greenwood muncul penyelamat United apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-55 selepas rembatannya menewaskan Alex McCarthy.
Jaringan itu menaikkan semangat United untuk mencari gol kemenangan, namun Southampton bukan saja bertahan dengan baik, malah mengatur beberapa gerakan yang hampir menghukum pasukan pelawat.