LONDON: Manchester City memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan langkah sumbang selepas tumpas 1-0 kepada Tottenham sebentar tadi.
Jaringan Son Heung-min pada minit ke-55 memberi permulaan sempurna buat Spurs di bawah bimbingan jurulatih baharu, Nuno Espirito Santo.
Selepas mengharungi proses yang panjang untuk mencari pengendali baharu ekoran pemecatan Jose Mourinho, Nuno akhirnya menjadi pilihan Tottenham.

Jurulatih dari Portugal itu tidak menyenaraikan penjaring terbanyak musim lalu, Harry Kane atas alasan kecergasan di tengah-tengah kontroversi perpindahannya ke City.
Son membuatkan penyokong Spurs lupa seketika tentang drama Kane apabila mencipta beberapa percubaan bahaya.

Selepas memulakan perlawanan dengan bekerja keras mematahkan serangan City, Spurs akhirnya menemui rentak di tengah permainan.

Son melakukan serangan balas cantik dan menyudahkan hantaran Steven Bergwijn dengan rembatan tepat ke penjuru gawang lawan untuk tuan rumah di depan, 10 minit memasuki babak kedua.
City yang semakin terdesak untuk mencari penyerang baharu kini akan menerima kunjungan Norwich dalam perlawanan kedua, Sabtu ini.
Nuno pula berdepan bekas pasukannya, Wolverhampton, Ahad ini. – AGENSI