Melaka United hampa sekadar seri - Utusan Malaysia

Melaka United hampa sekadar seri

PEMAIN Melaka United meraikan jaringan S. Kumaahran dalam aksi Liga Super menentang UiTM FC di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, sebentar tadi. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Impian Melaka United (MU) untuk melakar kemenangan tidak kesampaian selepas sekadarseri 1-1 dengan UiTM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.

Gol awal pemain lincah S. Kumaahran pada minit ke-44 seakan-akan memihak kepada MU untuk meraih tiga mata penuh.

Begitupun, tujuh minit sebelum tamat permainan pemain import UiTM, Victor Nirennold menyekat hajat Sang Kancil apabila menjaringkan gol penyamaan.

Keputusan seri 1-1 menyukarkan MU yang selepas ini berdepan laluan berliku bagi mengharungi baki tiga perlawanan menentang Selangor, Perak dan Kedah.

PEMAIN Melaka United, Giovane Gomes Da Silva (kiri) bersaing dengan Ahmad Khuzaimi Piee dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malambini. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD

MU kini berada di tempat kesembilan naik satu anak tangga daripada tempat ke-10 tetapi kedudukan itu  belum selamat ke zon penyingkiran.

UiTM pula terus menghuni tangga tercorot Liga Super.

MU nyata garang sebaik babak bermula dan menguji awal benteng pertahanan pelawat.

Seawal minit lima tuan rumah nyaris memperoleh gol awal namun dihampakan apabila sepakan leret Giovane Gomes tersasar beberapa inci daripada tiang gol sebelah kiri UiTM.

Peluang hadir lagi buat MU untuk menggegar jaring namun sepakan Wan Amirul Afiq sekadar tepat kedakapan penjaga gol pelawat, Muhammad Zamir Selamat pada minit ke-17.

Pada minit ke-38, UiTM mempunyai peluang terbaik memecah kebuntuan jaringan gol namun dikecewakan apabila sepakan kencang Mohd. Khairul Izuan tepat ke dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Seminit sebelum babak pertama berakhir MU memecah kebuntuan jaringan gol menerusi pemain lincah, S. Kumaahran.

Pemain itu melepaskan rembatan kencang yang mengenai palang lalu bola dilihat melantun masuk melepasi garisan gol.

Penjaga garisan mengangkat bendera mengesahkan jaringan tersebut walaupun pemain dan pihak pengurusan UiTM membantah jaringan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN