ALOR SETAR: Hilang seorang pemain di samping kekurangan ‘match fitness’ setelah lebih tiga bulan tidak beraksi, membuatkan Kedah terpaksa akur dengan kekalahan 2-4 kepada Selangor di laman sendiri kelmarin.
Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata, pelawat jelas memiliki segala kelebihan ketika anak-anak buahnya telah memberikan semua yang terdaya di sebalik segala kekurangan.
Katanya, bukan mudah untuk anak-anak buahnya menyerap serangan pantas daripada Red Giants ketika mereka perlu beraksi dengan hanya 10 pemain untuk tempoh lebih 60 minit.
“Pada separuh masa pertama, kita dapat lihat bagaimana pasukan ini terlebih dulu membuka jaringan ketika kita masih memiliki 11 pemain.
“Malah apabila Renan Alves dilayangkan kad merah sekali pun, kita masih mampu menjaringkan satu lagi gol di penghujung separuh masa pertama.
“Namun memasuki separuh masa kedua, pemain jelas keletihan ketika Selangor kian menggandakan asakan termasuk meletakkan lebih ramai pemain dalam kotak penalti.
“Pada akhirnya, kita mengucapkan tahniah kepada Selangor atas kemenangan ini dan bangkit semula untuk menampilkan aksi lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” katanya.

Dalam aksi di Stadium Darul Aman itu, Alves dilayangkan kad merah pada minit ke-28 apabila menampan bola rembatan penyerang Selangor, Ifeadyo Olusegun dengan menggunakan tangan di atas garisan gol.
Keadaan itu jelas menjejaskan rentak pasukan tuan rumah biar pun mereka terlebih dulu di depan menerusi jaringan Kpah Sherman pada minit ke-23.
Aidil menambah, setakat ini beliau tidak mahu memikirkan siapa yang bakal menggantikan Renan dalam perlawanan seterusnya menentang Pulau Pinang.
“Kami akan membuat penilaian dalam sesi latihan nanti,” katanya ringkas.
Sementara itu pengendali Selangor, Karsten Neitzel jelas gembira dengan kemenangan tersebut.
“Kedah walaupun beraksi dengan 10 pemain, mereka tetap melakukan yang terbaik hingga menyebabkan kami berdepan kesukaran terutamanya pada separuh masa pertama.
“Namun, para pemain kami jelas bermain dengan penuh kesungguhan untuk mencapai kemenangan ini. Kini kami sudah menang tiga perlawanan berturut-turun dan momentum ini mahu kami teruskan selepas ini,” katanya.