LONDON: Tottenham melakar kemenangan kedua berturut-turut dengan menumpaskan Wolverhampton 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang turut menyaksikan Harry Kane membuat penampilan pertama musim ini.
Penyerang yang menjadi buruan Manchester City itu masuk pada babak kedua di Stadium Molineux setelah terlepas dua perlawanan awal pasukannya musim ini.
Kane yang kecewa gagal memenangi sebarang trofi sepanjang 13 tahun lalu menyarung jersi Spurs berharap dapat menyertai City sebelum tarikh tutup perpindahan akhir bulan ini.
Sepakan penalti Dele Alli pada minit ke-10 memadai untuk menghadiahkan kemenangan kedua buat anak-anak buah Nuno Espirito Santo yang mengejutkan City 1-0 dalam aksi pembukaan liga minggu lalu.
Itu adalah gol liga pertama Alli sejak Mac 2020 selepas dia kembali membarisi skuad utama di bawah kendalian Nuno.
Kane menggantikan Son Heung-min ketika permainan berbaki 19 minit. – AFP