PETALING JAYA: Sejak beberapa hari lalu, kecoh di media sosial gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu membawa masuk bekas bintang penyerang Colombia, Radamel Falcao.
Biarpun tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh JDT, namun perkara itu hangat diperkatakan selepas portal sukan Turki, Fotomac dalam Twitter mereka pada 5 Ogos lalu mendedahkan sebuah kelab popular Malaysia itu telah membuat permohonan untuk mendapatkan Falcao.
Falcao, 35, yang kini beraksi bersama kelab Turki, Galatasaray pernah menyarung jersi gergasi Eropah seperti Manchester United, Chelsea, Porto dan Atletico Madrid.
Keinginan tinggi peminat bola sepak Malaysia untuk melihat pemain yan terkenal dengan julukan El Tigre itu menyebabkan ada yang sanggup mengedit maklumat peribadi Falcao dalam Wikipedia dengan menulis dia pernah menyarung jersi JDT dari 2013 hingga 2014 dan menjaringkan 107 gol daripada 65 penampilan.
? Malezya'nın en popüler kulübü Johor, Galatasaray'dan Radamel Falcao'yu istedi.
Kulübün Başkanı Prens Tunku İsmail İdris'in bizzat transferi üstlendiği ve Malezya futbol liginin en büyük transferini yapmak istediği iddia edildi. pic.twitter.com/RlgqJGoVfY
— Fotomaç (@fotomac) August 5, 2021
“Kelab paling popular di Malaysia, Johor meminta Radamel Falcao daripada Galatasaray.
“Difahamkan, Presiden kelab, Putera Tunku Ismail (Sultan Ibrahim) secara peribadi mahu membuat pertukaran dan ingin melakukan perpindahan terbesar dalam liga bola sepak Malaysia,” tulis Twitter Fotomac.
Difahamkan, juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu menagih khidmat Falcao untuk memperkuatkan serangan Harimau Selatan musim depan, dengan sasaran utama menjadi pencabar serius dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
JDT sebelum ini pernah membawa beberapa pemain terkemuka seperti Pablo Aimar, Daniel Guiza dan Luciano Figueroa.
Selain JDT, bekas penyerang Liverpool dari Senegal, El Hadji Diouf turut pernah menyerikan Liga Malaysia (Liga M) apabila menyertai Sabah pada 2015.