LONDON : Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp berasakan impian skuad Reds sudah lengkap selepas berjaya menewaskan Burnley 2-0 di depan penonton berkapasiti penuh di Anfield, semalam.
Jaringan dalam setiap babak menerusi Diogo Jota dan Sadio mane memastikan tiga mata buat Liverpool selepas gol Mohamed Salah sebelum waktu rehat dibatalkan kerana berada di kedudukan ofsaid.
Keputusan itu merupakan kemenangan kesembilan berturut-turut Liverpool dalam perlawanan pertama di gelanggang sendiri selain turut memenangi tujuh perlawanan terakhir dalam Liga Perdana Inggeris.
Kemenangan ke atas Burnley itu juga menyaksikan Liverpool membalas dendam terhadap pasukan kendalian Sean Dyche yang menamatkan rekod tanpa kalah mereka di Anfield musim lalu.
Klopp menegaskan bahawa perlawanan tersebut telah menaikkan semangat mereka setelah sekian lama menantikan untuk beraksi di hadapan ribuan penyokong di laman sendiri selepas bermain di stadium kosong ekoran pandemik Covid-19.
“Kami semua sudah lama menantikannya dan ia seperti sebuah festival bola sepak.
“Tiada siapa ditinggalkan hari ini (semalam). Kesemua impian kami telah terpenuhi. Sejujurnya, ia suasana yang terbaik pernah kami rasakan dan agak istimewa,” katanya.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Klopp mengakui Burnley memberikan kesukaran kepada anak buahnya, selain memuji barisan pertahanannya yang kini mengekal rekod tanpa bolos selepas mengharungi dua perlawanan EPL.
“Permainan yang cukup istimewa kerana Burnley menimbulkan masalah kepada kami tetapi pemain berjaya bermain dengan baik dan menjaringkan dua gol. Kami sepatutnya dapat memperolehi lebih banyak gol.
“Mereka berdua (Virgil van Dijk dan Joe Gomez) adalah pemain yang sangat baik,” ujarnya.- AGENSI