Boleh tak rakyat Malaysia yang baik hati, dermakan RM1 kepada saya untuk beli baju raya anak?”
“Duit hanya cukup beli telur, beras tak dapat beli, bagaimana nak survive hingga hujung bulan?”
Itu antara deretan naratif pengguna media sosial di Malaysia hari ini apabila mereka secara terbuka menggunakan platform itu untuk meminta bantuan kewangan, barangan dan perkhidmatan.
Fenomena yang digelar ‘mengemis digital’ semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat masa kini, khususnya apabila penggunaan media sosial menjadi semakin meluas dan sebati dengan kehidupan seharian.
Istilah ini merujuk kepada tindakan individu meminta sumbangan kewangan secara terbuka melalui platform dalam talian dengan menggunakan pelbagai naratif yang dirancang untuk menarik perhatian umum.
Kebiasaannya, naratif yang digunakan berkisar tentang kisah sedih, kecemasan hidup atau elemen keagamaan yang mampu menyentuh emosi serta simpati orang ramai.
Pendekatan ini berkesan kerana ia memanfaatkan reaksi emosi pengguna media sosial yang cenderung membantu apabila tersentuh dengan sesuatu kisah.
Dalam konteks Malaysia, fenomena ini semakin berkembang seiring dengan peningkatan penggunaan platform digital dalam kehidupan harian.
Pakar psikologi dan kaunseling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, perkembangan pesat teknologi komunikasi turut memudahkan individu menyampaikan kisah mereka kepada khalayak yang lebih luas dalam masa singkat.
Katanya, kemudahan transaksi tanpa tunai seperti kod QR dan e-wallet pula menjadikan proses pemberian sumbangan lebih cepat dan mudah.
“Keadaan ini secara tidak langsung membuka ruang kepada lebih ramai individu untuk menggunakan media sosial sebagai saluran mendapatkan bantuan kewangan.
“Pada masa sama, budaya berkongsi kehidupan peribadi secara terbuka dalam talian semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.
“Perubahan ini menjadikan tindakan meminta bantuan secara terbuka bukan lagi sebagai sesuatu yang luar biasa seperti dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
TEKANAN KEWANGAN ANTARA FAKTOR
Platform seperti TikTok, Facebook dan Instagram pula menjadi antara medium utama yang digunakan dalam fenomena ini kerana mempunyai capaian pengguna sangat luas.
Ciri-ciri seperti siaran langsung atau ‘live’ membolehkan interaksi berlaku secara masa nyata, sekali gus meningkatkan kepercayaan dan keterlibatan penonton.
Selain itu, algoritma platform yang menggalakkan kandungan tular turut mempercepat penyebaran kisah-kisah yang menyentuh emosi.
Apabila sesuatu kandungan menjadi tular, ia mampu mencapai ribuan malah jutaan pengguna dalam tempoh yang singkat.
Dr. Fauziah berkata, satu daripada faktor utama yang mendorong fenomena ini ialah tekanan kewangan yang dihadapi oleh sebahagian masyarakat.
Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, ramai individu terpaksa mencari jalan alternatif bagi memenuhi keperluan harian mereka.
“Mengemis secara digital dilihat sebagai satu kaedah yang cepat dan mudah berbanding saluran bantuan formal yang mungkin mengambil masa.
“Selain itu, faktor pengaruh sosial juga memainkan peranan penting dalam menyuburkan trend ini.
“Apabila terdapat individu yang berjaya memperoleh sumbangan besar melalui media sosial, ia secara tidak langsung memberi inspirasi kepada orang lain untuk melakukan perkara sama,” katanya.
Keadaan ini akhirnya membentuk satu kitaran yang menggalakkan fenomena tersebut terus berkembang dalam masyarakat.
RASA MALU BERKURANGAN
Dr. Fauziah berkata, peningkatan kos sara hidup juga menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada situasi ini.
Katanya, apabila harga barangan keperluan asas meningkat, beban kewangan yang ditanggung oleh individu turut bertambah.
Dalam keadaan terdesak, sesetengah individu memilih untuk meminta bantuan secara terbuka sebagai jalan penyelesaian segera.
Ujar berliau, selain faktor ekonomi, perubahan norma sosial turut menyumbang kepada penerimaan fenomena ini.
“Jika dahulu tindakan meminta bantuan secara terbuka dianggap memalukan, kini persepsi tersebut semakin berubah.
“Pendedahan kehidupan peribadi secara meluas di media sosial menjadikan tindakan ini dilihat lebih normal dan diterima.
“Perasaan malu semakin berkurang apabila masyarakat semakin terbiasa dengan budaya perkongsian terbuka,” katanya.
BUDAYA TULAR
Budaya tular juga memainkan peranan besar dalam mempercepatkan penyebaran fenomena ini.
Sesuatu kisah boleh menjadi tular dalam masa singkat tanpa semakan mendalam terhadap kesahihannya.
Dalam masa yang sama, empati netizen mendorong mereka untuk memberi bantuan secara spontan tanpa banyak persoalan.
Gabungan antara faktor viral dan simpati ini menjadikan sumbangan mudah diperoleh dalam tempoh singkat.
SUKAR DAPAT BANTUAN
Menurut Dr. Fauziah, terdapat juga individu yang beralih kepada media sosial kerana menghadapi kesukaran mendapatkan bantuan formal.
Katanya, proses permohonan bantuan rasmi yang rumit atau mengambil masa lama menyebabkan mereka mencari alternatif lebih cepat dan mudah.
“Media sosial dilihat sebagai saluran yang lebih langsung untuk mendapatkan perhatian dan bantuan daripada orang ramai,” katanya.
Walaupun fenomena ini sering dikaitkan dengan isu negatif, ia juga mempunyai kesan positif dalam situasi tertentu.
Bagi individu yang benar-benar memerlukan, meminta bantuan secara platform digital boleh menjadi satu bentuk talian hayat dalam keadaan kecemasan.
Bantuan kewangan boleh diperoleh dengan pantas untuk keperluan mendesak seperti rawatan perubatan atau makanan.
Dalam sesetengah kes, bantuan ini mampu membantu individu keluar daripada situasi kritikal.
Namun, fenomena ini juga membawa risiko yang tidak boleh dipandang ringan.
RISIKO PENIPUAN, SALAH GUNA
Risiko penipuan dan penyalahgunaan menjadi antara kebimbangan utama dalam konteks ini.
Jelas Dr. Fauziah, terdapat individu yang sanggup mereka cerita atau membesar-besarkan situasi bagi meraih simpati orang ramai.
Katanya, ada juga kes melibatkan penggunaan identiti palsu bagi mendapatkan sumbangan secara tidak sah.
“Keadaan ini bukan sahaja merugikan penderma, malah menjejaskan kepercayaan masyarakat secara keseluruhan.
“Jika tidak dikawal, fenomena ini boleh memberi kesan negatif terhadap imej masyarakat.
“Ia berpotensi menormalisasikan kebergantungan kepada bantuan tanpa usaha untuk memperbaiki keadaan diri,” katanya.
Beliau juga menekankan nilai maruah diri boleh terhakis apabila tindakan meminta bantuan menjadi kebiasaan.
Menurut Dr. Fauziah, fenomena ini berisiko mewujudkan budaya bergantung dalam kalangan masyarakat.
Jelasnya, apabila ia dilihat sebagai jalan mudah untuk mendapatkan wang, motivasi untuk mencari penyelesaian jangka panjang mungkin berkurang.
Ini termasuk usaha mencari pekerjaan atau meningkatkan kemahiran diri untuk masa depan.
“Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menjejaskan pembangunan individu dan masyarakat secara keseluruhan.
“Kepercayaan masyarakat juga akan terjejas sekiranya kes penipuan terus meningkat.
“Orang ramai mungkin menjadi lebih berhati-hati atau skeptikal terhadap setiap permohonan bantuan yang dikongsikan,” katanya.
Akibatnya, golongan yang benar-benar memerlukan mungkin tidak lagi menerima bantuan sepatutnya.
Fenomena ini menunjukkan teknologi digital membawa peluang dan cabaran secara serentak dalam kehidupan moden.
Oleh itu, keseimbangan antara empati dan kewaspadaan amat penting bagi memastikan bantuan sampai kepada pihak yang benar-benar memerlukan tanpa membuka ruang kepada penyalahgunaan.










