The Pocket Rocketman dedah 'senjata' RM13 juta - Utusan Malaysia

The Pocket Rocketman dedah ‘senjata’ RM13 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Azizulhasni Awang hari ini mendedahkan ‘senjata’ yang bakal digunakan di Sukan Olimpik Tokyo 2020 iaitu sentuhan terakhir basikal WX-R Vorteq.

Dalam video yang dimuat naik di Instagram, jaguh berbasikal trek negara itu memperlihatkan basikal yang dibangunkan menerusi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) RM13 juta berwarna hitam serta perak berbanding versi sebelum ini yang berwarna hitam.

Selain Azizulhasni, basikal itu turut akan digunakan seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom di Tokyo, di mana mereka akan dibekalkan tiga buah basikal setiap seorang.

Kedua-dua pelumba akan beraksi dalam acara keirin dan pecut di Tokyo nanti.

Azizulhasni, 33, yang menjadi sandaran Malaysia untuk meraih pingat emas di Tokyo berkata, dia sudah menguji basikal itu dalam sesi latihan.

“Sebenarnya daripada segi rangka yang digunakan dalam latihan (versi lama) dan yang akan dibawa ke Olimpik sama.

“Cuma versi terakhir mungkin beza daripada segi warna dan kualiti lebih mantap.

“Ia tidak lagi dilengkapi power meter kerana dalam perlumbaan sebenar kita tidak perlu mengukur kelajuan dan memperoleh data seperti latihan, hanya tumpu kepada tujuan untuk memenangi perlumbaan.

“Walaupun kelancarannya lebih baik sedikit berbanding versi lama tapi memberi impak besar dalam perlumbaan sebenar,” kata pemenang pingat gangsa acara keirin di Rio 2016.

Pelaburan besar dilakukan Institut Sukan Negara (ISN) dengan kerjasama syarikat  United Kingdom, TOTALSIM Ltd. sejak empat tahun lalu menekankan teknologi aerodinamik dan berat fizikal basikal bagi menyesuaikan dengan karakter pelumba.

Harga sebuah basikal dianggarkan bernilai RM300,000 termasuk kos R&D.

Perlumbaan berbasikal trek di Tokyo 2020 bermula dari 2 hingga 8 Ogos di Velodrom Izu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya