Reezal tabik semangat juang Aaron, Wooi Yik - Utusan Malaysia

Reezal tabik semangat juang Aaron, Wooi Yik

AARON Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik bersama pingat gangsa Sukan Olimpik yang dimenangi selepas menewaskan Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Reezal Merican Naina Merican memuji semangat juang Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang bangkit daripada ketinggalan untuk meraih pingat gangsa beregu lelaki, sekali gus menjadi pingat pertama Malaysia selepas sembilan hari Sukan Olimpik Tokyo 2020 berlangsung.

Beregu No. 9 negara itu tewas 17-21 di set pertama, malah ketinggalan empat mata di set kedua, sebelum bangkit menumpaskan juara dunia tiga kali, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14.

“Alhamdulillah. Rezeki hari kesembilan temasya ini akhirnya menghadirkan pingat pertama buat negara.

Walaupun tidak berjaya mempertahankan pingat perak yang dimenangi oleh pasangan Goh V Shem- Tan Wee Keong di Rio 2016, namun kesungguhan Aaron-Wooi Yik cukup membanggakan.

“Saya dapat lihat tadi kesungguhan Aaron dan Wooi Yik dengan aksi persembahan yang cukup bertenaga. Saya tahu bukan mudah untuk berhadapan dengan lawan yang berpengalaman lebih-lebih lagi ini merupakan penampilan pertama pasangan beregu negara ini ke Olimpik.

“Pastinya seluruh rakyat Malaysia bergembira dan berbangga dengan kejayaan ini. Congratulations Aaron – Wooi Yik!,” katanya hari ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada jurulatih negara, Flandy Limpele kerana berjaya membawa gandingan utama negara itu melakar keputusan terbaik di Tokyo.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Coach Flandy yang telah berjaya mengasuh pasangan beregu ini hingga ke tahap ini.

“Ini juga hasil kerja keras semua pihak yang bersama-sama menjadikan impian Olimpik ini satu kenyataan,” katanya.

Reezal berharap, kejayaan Aaron-Wooi Yik akan membakar semangat kontinjen Malaysia untuk memburu lebih banyak kegemilangan di Tokyo.

“Kita juga doakan kejayaan buat barisan atlet negara yang masih meneruskan perjuangan di Olimpik ini. Insya Allah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.