Tiket Olimpik sudah dapat, pergi belum tentu - Utusan Malaysia

Tiket Olimpik sudah dapat, pergi belum tentu

QABIL Ambil Mahamad Fathil perlu berdepan laluan berliku untuk ‘tiba’ di Tokyo 2020. - IHSAN FACEBOOK QABIL AMBAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ada tiket, namun belum tentu dapat sertai temasya.

Itu bahasa mudah bagi atlet ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil yang layak menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi acara dressage individu pada saat-saat akhir.

Begitupun jelas atlet berusia 41 tahun itu, dia perlu mengharungi pelbagai rintangan sebelum disahkan benar-benar layak beraksi dalam temasya 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

“Memang rasa terkejut dan gembira di atas perkembangan terbaharu ini, namun sebelum itu saya perlu menyertai beberapa kejohanan kelayakan sebelum 21 Jun ini dan kena dapatkan keputusan 66 peratus untuk layak beraksi di Olimpik.

“Setakat ini hanya ada satu kelayakan yang saya boleh sertai iaitu di Le Mans pada 17 Jun ini, namun saya rasakan agak sukar mengambil bahagian sebab susah nak melakukan persiapan pada saat akhir.

“Malah kuda saya juga berada di Denmark dan memerlukan tempoh dua hari untuk membawanya ke Perancis melalui jalan darat.

“Dalam tempoh pandemik ini juga, banyak SOP (prosedur operasi standard) yang perlu saya lalui untuk menyertai kejohanan tersebut. Bagaimanapun kesemua halangan itu akan saya cuba harungi sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin, Malaysia melakar sejarah terbaharu apabila buat pertama kali layak ke pentas Olimpik menerusi sukan ekuestrian.

Kekosongan slot pada saat-saat akhir itu wujud selepas salah seorang peserta menarik diri daripada temasya berprestij tersebut.

Mengulas lanjut, pemenang pingat perak dalam tiga edisi Sukan Asia itu berkata, menerusi bantuan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) nanti diharap dapat meringankan bebannya dalam misi melayakkan diri ke Tokyo 2020.

“Biasanya penarikan diri peserta setahun sebelum penganjuran, namun perkara sudah berlaku dan ini peluang terakhir saya dan ia sungguh mencabar.

“Saya harap MOM dan EAM dapat memohon kepada FEI (Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa) agar membuat pertimbangan sewajarnya terhadap situasi semasa saya ini.

“Jujurnya, kalau tiada masalah, kuda dan saya cergas, saya yakin saya dapat capai keputusan 66 peratus ke atas dalam kelayakan tersebut,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya