LONDON: Cristiano Ronaldo mempunyai cara tersendiri untuk meluahkan rasa cinta terhadap pasangannya, Georgina Rodriguez pada Euro 2020.
Ketika kebanyakan lelaki gemar mengungkap kata-kata romantis ‘cinta sampai ke mati’, bintang Portugal itu pula menunjukkan cintanya sampai ke ‘kaki’.
Ronaldo, 36, yang telah meledak lima gol di peringkat kumpulan, mempunyai ‘azimat’ di kaki apabila memakai pelindung betis istimewa iaitu gambar dia bersama Georgina.
Biarpun ramai tidak menyedari pelindung betis yang dipakai Ronaldo, namun Georgina berkongsi perkara itu dalam media sosial.
Ketika sedang berjalan bersama bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Karim Benzema sejurus tamat perlawanan menentang Perancis, Ronaldo melurutkan stokin dan memperlihatkan pelindung betis yang tertera foto dia bersama teman wanitanya. – AGENSI