Tandukan Bobby kecewakan Selangor - Utusan Malaysia

Tandukan Bobby kecewakan Selangor

PENYERANG Selangor, Ifedayo Olisegun (kiri) bersaing dengan pemain Sabah dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ malam ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua gol penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun gagal menghadiahkan kemenangan buat tuan rumah apabila diikat Sabah 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Biarpun beraksi di hadapan penyokong sendiri namun pasukan pelawat lebih banyak mencipta peluang berbanding tuan rumah.

Bermula dengan percubaan deras kaki kiri pertahanan kanan pelawat, Randy Baruh pada minit ke-21 memaksa penjaga gol tuan rumah, Khairulazhan Khalid melayangkan badan untuk menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Usaha skuad Sang Badak mencari gol pembukaan akhirnya berhasil menerusi ledakan pemain berpengalaman, Amri Yahyah yang bijak mengatasi pertahanan Selangor, Sharul Nazeem Zulpakar dalam kotak penalti sebelum melakukan rembatan leret menggegar jaring gol tuan rumah pada minit ke-31.

PEMAIN Selangor, Namathevan Arunasalam (kiri), mengawal bola dalam perlawanan Liga Supermenentang Sabah di Stadium MBPJ, Petaling Jaya malam ini. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Sebelum memasuki bilik persalinan, Sabah berpeluang menggandakan jaringan namun hantaran lintang Saddil Ramdani sekadar melintasi gawang Selangor.

Bersambung babak kedua, pemain gantian Maxsius Musa hampir menggandakan jaringan namun rembatan lemahnya berjaya dinafikan Khairulazhan.

Musa sekali lagi dihidangkan peluang untuk mencipta nama sebagai penjaring tetapi tandukannya tepat ke arah Khairulazhan tiga minit kemudian.

Usaha Red Giants mencari gol penyamaan akhir terhasil menerusi jaringan penyerang berbisa Selangor, Ifedayo Olusegun pada minit ke-56 yang memanfaatkan hantaran lintang Norhakim Hasan.

Penyerang kelahiran Nigeria itu menambah gol kedua peribadinya dan merupakan jaringan kesembilan buat Ifedayo musim ini pada minit ke-72, sekali gus menggamatkan stadium dengan sorakan penyokong Merah Kuning yang hadir ke stadium.

Ketika Red Giants di ambang kemenangan, tandukan bekas penyerang kebangsaan, Bobby Gonzales pada minit terakhir perlawanan meleburkan hasrat Selangor meraih tiga mata di laman sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.