fbpx

15 April 2021, 4:31 pm

Isu luar padang tak jejas Perak

PEMAIN Perak meraikan jaringan ketika menentang UiTM FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak FC bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menumpaskan UITM FC 3-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Perak di sini sebentar tadi.

Kemenangan ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaan penyokong Bos Gaurus ekoran kekalahan 1-2 kepada Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Lebih penting kemenangan itu mengikis tanggapan buruk terhadap pasukan Yob yang dipalit isu tunggakan gaji dua bulan.

Dalam aksi hari ini, tuan rumah tidak dapat menurunkan kapten, Shahrul Mohd. Saad kerana cedera.

Shakir Hamzah diberi tanggungjawab sebagai bek tengah dan digandingkan bersama Mohamad Idris Ahmad, Muhad Danish Haziq.

Perak menguasai permainan dan berjaya mencipta beberapa peluang gol tetapi Guilherme De Paula  dan Raianderson Da Costa Morais atau Careca gagal menukarkan peluang menjadi gol.

Sebaliknya, UiTM FC mengejutkan tuan rumah apabila mendahului lawan melalui jaringan penalti oleh Nana Poku pada minit ke-19.

Nana kemudian meletakkan pelawat 2-0 di hadapan apabila menewaskan perangkap ofsaid tuan rumah dan mudah menewaskan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy pada minit ke-39.

Bagaimanapun Careca merapatkan jurang apabila menyumbat gol dalam pergelutan di dalam kawasan gol sejurus sebelum rehat.

Babak kedua menyaksikan kebangkitan Perak yang melancar serangan bertubi-tubi ke kubu lawan.

Usaha mereka berhasil apabila mendapat sepakan penalti selepas Leandro Dos Santos dijatuhkan dalam kotak penalti.

De Paula tidak membuat kesilapan dengan sepakannya untuk menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-66.

Rembatan leret Careca  melalui bawah badan penjaga gol Lion Troops , Muhammad AzfarArif Mohd. Sukri  pada  minit ke-77 memusnahkan impian pasukan pelawat untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata. – UTUSAN