PETALING JAYA: Seorang pemilik syarikat perundingan, pengurusan dan perniagaan direman tujuh hari oleh kerana disyaki meminta serta menerima rasuah kira-kira RM30,000.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur berkata, perintah reman terhadap suspek wanita berusia lingkungan 60-an itu dikeluarkan Majistret Aliaa Anwar selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Katanya, suspek ditahan kira-kira pukul 6.45 petang, Khamis lalu di sekitar Kuala Lumpur sebelum direman bermula 4 September hingga 10 September 2026.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Mac 2025 melibatkan permintaan dan penerimaan wang rasuah daripada seorang pemilik syarikat.
“Wang rasuah kira-kira RM30,000 itu dipercayai diminta dan diterima sebagai balasan mendapatkan geran dan pinjaman di bawah skim pembiayaan kewangan usahawan Bumiputera untuk dua buah syarikat berkaitan persenjataan dan pertahanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN










