BERLIN: Kesilapan benteng menyebabkan Bayern Munich mensia-siakan kelebihan mendahului 2-0 apabila tumpas 3-2 kepada Borussia Moenchengladbach dalam aksi Bundesliga pagi tadi.
Kekalahan kedua Bayern musim ini membuka laluan kepada RB Leipzig merampas takhta pendahulu liga jika mengalahkan Borussia Dortmund esok.
Pengendali Bayern, Hansi Flick berkata, pemainnya perlu menyalahkan diri sendiri kerana melakukan tiga kesilapan yang memakan diri.
“Gladbach bermain dengan bagus dan menghukum sepenuhnya tiga kesilapan kami.
“Kami bermain baik dalam tempoh 30 minit pertama dengan mendominasi permainan, tapi akhirnya perkara kecil yang menentukan perlawanan.
“Kami melakukan kesilapan, kerap hilang bola dan pertahanan sangat teruk.
“Kesilapan individu juga menghukum pasukan. Selepas ketinggalan 2-3, kami sudah tidak mampu bangkit,” kata Flick kepada DAZN.
Bayern mendahului 2-0 selepas 26 minit permainan menerusi sepakan penalti Robert Lewandowski dan jaringan Leon Goretzka di Borussia Park.
Bagaimanapun Gladbach bangkit apabila pemain tengah, Jonas Hofmann meledak dua gol untuk kedudukan 2-2 tamat babak pertama.
Jaringan Florian Neuhaus selepas rehat melengkapkan kebangkitan Moenchengladbach. – AFP











