Safawi turun jumpa Porto? - Utusan Malaysia

Safawi turun jumpa Porto?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keterujaan peminat bola sepak untuk melihat Safawi Rasid membuat penampilan sulung dalam Liga Primeira kembali menyala selepas saluran sukan Astro Arena bakal menyiarkan perlawanan Portimonense menentang Porto, Isnin ini secara langsung.

Sejak tiba di Portugal awal bulan lalu, Safawi masih belum mendapat tempat dalam skuad utama dan hanya membuat satu kemunculan bersama pasukan bawah 23 tahun (b-23) kelab tersebut, 16 Oktober lalu.

Ini kali kedua Astro Arena menyiarkan perlawanan Primeira Liga secara langsung selepas membawakan aksi Portimonense menentang Maritimo, 17 Oktober lalu yang menyaksikan Safawi tidak diturunkan.

Harapan peminat untuk melihat bintang Harimau Malaya itu beraksi dalam pertemuan menentang Tondela, 24 Oktober lalu juga tidak kesampaian.

Malah, dia juga tidak mendapat tempat dalam skuad Portimonense ketika menentang Santa Clara, Ahad lalu yang menyaksikan pasukan itu tewas 1-2.

Kecewa Safawi tidak diturunkan selepas tiga perlawanan sedangkan Luqman Hakim Shamsudin, seorang lagi bintang Malaysia yang beraksi di Eropah sudah diberi kepercayaan oleh KV Kortrijk untuk beraksi dalam Liga Pro Belgium, peminat bertindak ‘menyerang’ Facebook Portimonense.

Tindakan mereka menyebabkan Safawi, 23, terpaksa menenangkan keadaan dan meminta peminat bersabar, sambil menegaskan masanya akan tiba tidak lama lagi.

“Terima kasih kepada peminat sentiasa mengambil berat perkembangan saya, mohon doa kejayaan saya di sini.

“Itu keputusan ketua jurulatih. Paling penting tugas kita sebagai pemain beri segalanya dalam latihan.

“Persaingan merebut tempat sangat sengit dan kita tahu liga di sini antara lima terbaik di Eropah, tahapnya sangat tinggi.

“Saya memang berlatih bersama pasukan utama sejak awal tiba di sini tapi kalau ada perlawanan bersama skuad bawah 23 tahun baru saya sertai sesi latihan mereka. Lepas habis perlawanan saya akan kembali bersama skuad utama.

“Saya percaya masa akan tiba dan peluang akan ada untuk saya buktikan kemampuan,” kata Safawi beberapa hari lalu.

Apa yang pasti, peminat Malaysia akan menunggu di depan TV pada 1.30 pagi Isnin ini untuk melihat kemunculan pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, apatah lagi lawan mereka adalah gergasi Portugal, Porto.

Porto bakal diketuai bekas tonggak pertahanan Real Madrid dan Portugal, Pepe, malah pasukan tersebut memegang reputasi selaku juara Eropah dua kali dan telah memenangi gelara Liga Primeira 29 kali.

Membayangkan Safawi bersaing dengan Pepe di atas padang yang sama sudah cukup menaikkan keterujaan peminat bola sepak tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya