Pawi pernah berhutang untuk makan - Utusan Malaysia

Pawi pernah berhutang untuk makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA kali dinobat Pemain Paling Bernilai 2018 dan 2019, namun di sebalik segala kejayaan yang dikeca­pi, terselindung kisah dukanya lapan tahun lalu yang tidak pernah didedah kepada peminat bola sepak tempatan.

Mengimbau kembali saat-saat di mana bintang Harimau Malaya itu terpaksa berhutang untuk membeli barang keperluan harian yang dipesan ibunya di kedai runcit.

SAFAWI RASID
Tarikh lahir : 5 Mac 1997
Tempat lahir : Dungun, Terengganu
Hobi : Memancing
Makanan kegemaran : Nasi dagang
Warna kegemaran : Merah
Sisi tidak diketahui : Pernah bekerja sebagai tukang rumah
Karakter : Pendiam, pemalu
Idola : Cristiano Ronaldo, Safiq Rahim

“Mungkin orang lihat saya seorang yang berjaya, pakai kereta mewah tapi dulu keluarga saya pernah hutang kedai runcit sampai sebulan baru bayar balik. Bila ingat saat itu, ya Allah sedihnya.

“Saya dari keluarga yang susah. Adik-beradik saya pula ramai kami ada 13 orang semuanya,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Demi sesuap nasi buat setiap ahli keluarganya, anak kesembilan ini berkata, dia perlu mengetepikan perasaan malu pada waktu itu untuk berhutang.

“Malu itu memang malu tapi nak buat macam mana, keluarga saya perlu berhutang dulu untuk makan. Waktu itu kakak dan abang saya pun masih belum bekerja lagi.

“Kehidupan kami memang susah sangat ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu,” ujar­nya.

 

Keluarga besar Safawi Rasid.  – INSTAGRAM SAFAWI RASID

Kesusahan yang dilaluinya sejak kecil membuat dia memasang hasrat untuk menjadi pemain bola sepak yang berjaya demi mengubah nasib keluarga.

“Melihat kesusahan yang dilalui keluarga membuatkan saya bersemangat untuk melakukan sesuatu bagi mengubah nasib keluarga. Saya cuba main bola sepak.

“Alhamdulillah bakat saya mula dilihat dan saya gunakan wang hasil titik peluh bermain bola untuk bantu keluarga,” katanya.

Beraksi sebagai tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak 2016 dan kini di­pinjamkan selama satu musim bersama kelab Portugal, Portimonense namun ramai tidak mengetahui bahawa Safawi sebenarnya pernah dikenali sebagai
pakar libas.

Pemain berusia 23 tahun itu lebih awal mencipta nama sebagai pemain sepak takraw apabila mewakili Terengganu dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) sejak di bangku sekolah rendah.

Begitupun, ketika di tingkatan tiga, Safawi turut terpi­lih mewakili skuad bola sepak Terengganu dalam kejohanan MSSM membuatkan dia terpaksa melupakan sepaktakraw.

Bersama ibu, Salemeh Abu Bakar dan bapa , Rasid Sulong ketika berlepas ke Portugal awal bulan lalu.

“Pada awalnya saya main takraw sebab saya satu-satunya anak yang mewarisi bakat ayah (Rasid Sulung). Ayah bekas pemain sepaktakraw Terengganu sebab itu saya bercita-cita nak mewakili negara dalam sukan ini.

“Tapi bila terpilih mewakili Terengganu dalam bola sepak, saya lupakan takraw yang juga pilihan ayah kerana melihat peluang dalam bola sepak ­lebih terbuka luas,” katanya.

Keputusan itu diambil selepas berbincang dengan bapa dan dia mendapat sokongan penuh untuk mengembangkan kerjaya.

“Saya tahu ayah mahu saya mewarisi bakatnya tetapi dia tidak pernah halang pilihan saya. Dia sentiasa menyokong karier saya sehingga hari ini.

“Masa kecil saya bercita-cita nak jadi doktor tapi saya dulu nakal, belajar pun kurang. Saya fikir bola sepak lebih sesuai dengan jiwa saya. Syukur sangat-sangat kerana kerjaya ini dapat mengubah nasib saya dan keluarga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN