Hanya persatuan sukan berhak terima bantuan KBS - Utusan Malaysia

Hanya persatuan sukan berhak terima bantuan KBS

Kasma Daniel Kasmayudin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tampil memberi penjelasan mereka tidak perlu memaklumkan sebarang keputusan Jawatankuasa Bantuan kepada pihak lain, selain persatuan sukan yang membuat permohonan.

Semalam kecoh di media sosial apabila prinsipal pasukan ONEXOX TKKR SAG (TTKR), Bobie Farid Shamsuddin tidak berpuas hati dengan tindakan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) dan KBS yang membelakangi mereka selepas tidak diberitahu mengenai dana tersebut telah diberikan kepada pelumbanya, Kasma Daniel Kasmayudin secara terus.

Jelas KBS, permohonan itu telah dilakukan oleh MAM bagi mewakili Kasma dan diluluskan pada 3 September lalu.

“Jawatankuasa Bantuan akan mempertimbangkan sesuatu permohonan yang diterima oleh KBS dan jika diluluskan, ia akan disalurkan melalui persatuan sukan berkaitan seperti MAM bagi kes ini.

“Secara prinsipnya, pihak Kementerian tidak menyalurkan bantuan kewangan bagi pembangunan sukan secara terus kepada mana-mana individu atau syarikat.

“Jawatankuasa Bantuan juga terikat dengan garis panduan dan tatacara kewangan sedia ada. Ia boleh diaudit pada bila-bila masa.

“Bantuan kewangan tersebut disalur sebagai tanda sokongan bagi membolehkan Kasma seorang atlet dan belia negara yang mempunyai potensi besar, dapat mengharumkan nama negara dalam kejohanan yang disertainya,” menurut satu kenyataan media daripada pihak KBS, sebentar tadi.

Dalam masa sama, KBS juga tiada menghalang atlet atau persatuan untuk membuat sebarang kenyataan berhubung kelulusan dan penyaluran bantuan yang telah disempurnakan mengikut peraturan kewangan.

“KBS sememangnya komited untuk membantu seluruh ekosistem sukan negara, lebih-lebih lagi yang terkesan akibat penularan Covid-19, termasuk atlet sukan permotoran. KBS juga berharap tumpuan dan fokus dapat diberikan kepada usaha membangunkan atlet ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” jelasnya.

Difahamkan, Kasma menerima dana bantuan kewangan berjumlah RM52,000 dari KBS melalui MAM dan seorang lagi pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah turut menerima bantuan, namun jumlahnya tidak diketahui.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya