KDNK suku kedua dijangka tumbuh lebih sederhana pada 4.0%

KDNK suku kedua dijangka tumbuh lebih sederhana pada 4.0%

KETIDAKTENTUAN geopolitik di Asia Barat dan kebimbangan berkaitan tarif menyebabkan isi rumah lebih berhati-hati dalam perbelanjaan pada suku kedua 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh kira-kira 4.0 peratus hingga 4.2 peratus pada suku kedua tahun ini, rendah sedikit berbanding 4.4 peratus pada suku pertama, berikutan perbelanjaan isi rumah yang lebih sederhana, kata penganalisis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, perang di Asia Barat dan pengumuman tarif timbal balas oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) mempengaruhi sentimen isi rumah yang menyebabkan kemerosotan perbelanjaan.

Katanya, sektor perkhidmatan terus memacu pertumbuhan dalam ekonomi negara iaitu sebanyak 65 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kesan daripada penurunan eksport akan dirasa lebih lagi pada suku ketiga kerana kadar tarif sudah meningkat dan boleh jatuh sehingga RM70 bilion, manakala boleh memberi impak kepada kira-kira 35,000 guna tenaga jika tarif 25 peratus itu dikekalkan.

“Oleh itu, kita harapkan rundingan dapat mencapai persetujuan yang lebih baik dan kadar tarif dapat dikurangkan lagi. Jika tidak, kesan yang lebih besar dapat dilihat pada suku ketiga dan keempat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh bank pusat pada minggu lalu dijangka mampu membantu merancakkan ekonomi domestik pada suku-suku akan datang.

“Penurunan OPR bermakna lebih banyak kecairan dalam pasaran, sekali gus dapat meningkatkan perbelanjaan isi rumah,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Ekonomi TA Securities Holdings Berhad, Farid Burhanuddin berkata, pihaknya mengekalkan unjuran untuk KDNK berkembang sebanyak 4.0 peratus pada suku kedua 2025, turun daripada 4.4 peratus pada suku sebelumnya.

Katanya dalam nota penyelidikan, sektor perlombongan dijangka kekal menjejaskan pertumbuhan. 

“Output menguncup purata 8.3 peratus tahun ke tahun dalam tempoh yang sama, mencerminkan gangguan dari segi bekalan yang berterusan dan permintaan tenaga global yang lembap. 

“Melainkan terdapat lantunan yang ketara pada bulan Jun, perlombongan berada di landasan untuk mencatat satu lagi pertumbuhan suku yang negatif, selepas jatuh 3.3 peratus pada suku pertama 25, sekali gus mengurangkan sumbangan keseluruhannya kepada KDNK,” ujarnya.

Tambahnya, memandang ke hadapan, aktiviti perindustrian dijangka kekal sangat sensitif terhadap dinamik perdagangan global, keadaan permintaan domestik dan turun naik harga tenaga, terutamanya dalam keadaan ketidaktentuan yang berterusan dalam dasar perdagangan AS.

Jelasnya, ketegangan perdagangan yang berterusan, terutamanya yang melibatkan AS menimbulkan risiko penurunan yang ketara kepada industri berorientasikan eksport Malaysia dengan mengganggu kesinambungan rantaian bekalan dan menjejaskan daya saing eksport.

“Walau bagaimanapun, kami mengekalkan ramalan pertumbuhan KDNK 2025 kami pada 4.4 peratu buat masa ini.

“Kami mengulangi bahawa unjuran ekonomi dan andaian dasar kami kekal sementara menunggu kejelasan yang lebih jelas mengenai pelaksanaan akhir, skop dan masa langkah-langkah tarif AS yang dicadangkan,” ujarnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia dijadualkan mengumumkan anggaran awal KDNK bagi suku kedua 2025 pada Jumaat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN