KUALA LUMPUR: Memburu slot ke pentas Asia menjadi sasaran utama kebanyakan pasukan Liga Malaysia (Liga M).
Begitupun, Pahang membuat keputusan mengejut apabila tidak memohon lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang ditutup 30 September lalu.
Dengan Piala FA terpaksa dibatalkan susulan pandemik Covid-19, pasukan yang menjuarai Piala Malaysia musim ini akan diberi slot terakhir untuk beraksi pada Piala AFC 2021.
Sebagai pasukan yang memiliki rekod cemerlang dalam kejohanan itu – muncul juara empat kali, Tok Gajah dianggap antara pilihan untuk muncul juara apabila saingan membuka tirai minggu depan.
Bagaimanapun, keputusan tidak memohon lesen AFC menyebabkan Pahang terpaksa melupakan pentas Asia sekali pun berjaya muncul juara.
“Kalau Pahang menang Piala Malaysia, mereka tidak boleh menyertai Piala AFC tetapi tiada tindakan akan dikenakan terhadap pasukan itu.
“Mereka hanya kehilangan peluang untuk beraksi di pentas Asia,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam kepada Utusan Malaysia semalam.
Mungkin Tok Gajah ada alasan tersendiri, namun menerusi rekod lapan tahun terakhir mereka dalam Piala Malaysia, Pahang boleh dikatakan pasukan yang digeruni.
Mereka pernah muncul juara dua tahun berturut-turut pada 2013 dan 2014, selain terkandas di separuh akhir 2015 serta 2019.
Pada 2017, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) pernah dikenakan hukuman dilarang daripada memohon lesen AFC selama dua tahun iaitu 2018 dan 2019.
Itu menghalang mereka beraksi dalam sebarang kejohanan kelab AFC pada 2019 dan 2020.
PBNP juga diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.
Bagaimanapun Stuart berkata, Tok Gajah tidak akan berdepan hukuman berat biarpun sekali lagi tidak memohon lesen AFC untuk saingan tahun depan.
Ini kerana katanya, isu Pahang tidak memohon lesen AFC pada 2017 dan tahun ini adalah berbeza.









