KUALA LUMPUR: Tiada lagi siaran langsung, namun peminat bola sepak Malaysia tetap setia menunggu Safawi Rasid membuat kemunculan sulung dalam liga utama Portugal bersama Portimonense SC esok.
Selepas kecewa tidak dapat menonton sentuhan bintang berbakat itu dalam aksi Primeira Liga menentang Maritimo pada 17 Oktober lalu yang disiar secara langsung di Astro Arena, peminat mengharapkan Safawi diturunkan bertemu Tondela Ahad lalu.
Malangnya, kelibat bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga tidak kelihatan dalam perlawanan tersebut yang berkesudahan Portimonense tewas 0-1.
Esok semua tumpuan terarah pemain berusia 23 tahun itu sekali lagi apabila Portimonense yang menghuni tangga ke-16 Primeira Liga menerima kunjungan pasukan tempat keenam, Santa Clara yang diketuai penjaring terbanyak liga, Thiago Santana (lima gol).
Yang pasti, Safawi tidak akan beraksi lagi buat skuad bawah 23 tahun (B-23) Portimonense, dan peluangnya cerah untuk diturunkan jurulatih, Paulo Sergio.
Kata Safawi, posisi sayap kanan menjadi sasaran utamanya kerana dia melihat belum ada pemain kaki kiri mengisi kedudukan itu di kelab berkenaan.
“Kalau nak ikutkan betul-betul pemain kaki kiri yang main sebelah kanan memang tiada.
“Insya-Allah saya akan buat yang terbaik dalam latihan dan yang paling penting saya perlu cepat menyesuaikan diri dengan corak permainan di sini.
“Saya tidak boleh bercakap tentang itu (bermain Ahad ini) kerana sini semua pemain bagus-bagus, keputusan bergantung kepada ketua jurulatih kalau ada rezeki mungkin saya bermain nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Safawi masih menunggu peluang untuk diturunkan bersama skuad utama selepas membuat kemunculan sulung di Portugal bersama skuad bawah 23 (B-23) Portimonense pada 16 Oktober lalu.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dipinjamkan selama semusim kepada Portimonense, dan jika berminat kelab Portugal tersebut boleh menawarkan kontrak tetap buat Safawi.
Sementara itu, semangat ‘Portimonense’ semakin menebal di jiwa Safawi apabila dibawa mengelilingi bandar Portimao kelmarin untuk lebih mengenali budaya mereka.
Selain menikmati keindahan bandar Portugal tersebut, dia juga dibawa menjamu juadah tempatan.
Safawi juga menyerahkan jersi kelab kepada Datuk Bandar, Isilda Gomes sebagai
tanda terima kasih atas sokongan padu yang diberikan penduduk Portimao.










