fbpx

26 Oktober 2020, 6:23 pm

  TERKINI

Tak boleh kalah lagi

J. PARTIBAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kalah sekali lagi pasti sukar diterima, dan untuk memastikan Bos Gaurus mengutip tiga mata ke atas UiTM FC malam ini, hanya kesebelasan terbaik akan diturunkan di Stadium Perak, Ipoh.

Kecuali Careca, Perak akan menurunkan kesebelasan utama, termasuk Hafizul Hakim Khairul Nizam dan J. Partiban dengan misi ‘wajib menang’ Liga Super.

Dua pemain itu sudah pulih daripada kecederaan selepas disisihkan dalam dua perlawanan terakhir akibat kecederaan, yang menyaksikan Perak tumpas 0-1 kepada Melaka dan dimalukan 7-0 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT)

Hafizul Hakim tidak dapat beraksi kerana menjalani rawatan pemulihan selepas menjalani pembedahan Anterior Cruciate Ligament (ACL) Mac lalu.

Partiban, Careca dan Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri pula mengalami kecederaan semasa latihan bersama pasukan.

“Persembahan pasukan terjejas ekoran ketiadaan mereka, jadi kepulangan pemain-pemain ini pangkuan pasukan diharap mampu merubah nasib kami,” kata pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah.

Sementara itu, kekosongan Careca akan diisi penyerang Perak II, Bruno Luiz Pires.

“Bruno sepatutnya diturunkan dalam perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) tetapi mengalami kecederaan pada saat akhir.

“Kali ini Bruno akan diturunkan di tempat Careca,” katanya.

Perak tidak sanggup lagi mengalami kekalahan ketiga berturut-turut terutama pencabar kali ini adalah pendatang baru liga elit itu.

“Cukuplah dua kekalahan berturut-turut. Perak tidak boleh kalah lagi. Pemain kena bangkit dalam perlawanan ini untuk menebus maruah yang tercalar.

“Justeru kami akan lakukan apa yang terdaya untuk meletakkan kembali pasukan di atas landasan yang betul,” kata Adly.

BERITA BERKAITAN