fbpx

Siapa tak kecewa? – Shahrol Yuzy

  • Oleh Sufian Hadi Bin Mohd Sojak
  • 2 Ogos 2020, 7:10 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Shahrol Yuzy Ahmad Zaini satu-satunya pelumba yang pernah beraksi dalam tiga litar utama di negara ini kecewa dengan pembatalan Grand Prix Malaysia daripada kalendar kejuaraan motosikal dunia 2020.

Shahrol, 44, yang pernah berlumba di Litar Shah Alam, Pasir Gudang dan Sepang pada Kejuaraan Motosikal Dunia menyifatkan ketiadaan Malaysia dalam kalendar perlumbaan selepas 29 tahun pasti dirasai peminat permotoran negara.

Begitupun katanya, keputusan itu sudah diduga kerana perkembangan pandemik Covid-19 masih membimbangkan.

“Saya sempat rasai trek di Shah Alam pada 1996 dan 1997 menerusi tiket wild card (jemputan), kemudian di Pasir Gudang 1998 (wild card) sebelum ke Sepang 1999 (wild card). Saya beraksi semusim penuh pada 2000 hingga 2002.

“Siapa tidak kecewa? Hampir 30 tahun kejuaraan ini bertapak di Malaysia. Salah satu acara terbesar yang kita pernah menjadi tuan rumah. Biasanya kalau ada MotoGP di sini, saya antara orang yang teruja sebab nak jumpa kawan-kawan di Sepang.

“Bagaimanapun perlumbaan itu dibatalkan tahun ini. Kita faham keadaan semasa Covid-19. Antara pengorbanan yang perlu kita lalui,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Sejak 1991, Kejuaraan Motosikal Dunia sudah bertapak di Malaysia, berlangsung di Litar Batu Tiga Shah Alam, diikuti Litar Johor di Pasir Gudang sebelum perlumbaan berprestij itu berhijrah ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 1999.

Bagaimanapun semalam, pengumuman pembatalan Grand Prix (GP) Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 1 November 2020 telah mengundang rasa kecewa seluruh peminat sukan permotoran tanah air.

Membuka semula lipatan sejarah, sebagai pelumba pertama negara dalam Kejuaraan Motosikal Dunia di era moden, Shahrol berkata, ketiga-tiga litar mempunyai kesukaran dan cabaran tersendiri, namun menjadikan trek di Shah Alam sebagai lokasi istimewa.

“Kenangan manis sudah tentu apabila dapat berlumba di tempat sendiri, lagi pun cabarannya berlainan pada waktu itu sebab Malaysia antara negara yang menyajikan perlumbaan dalam suasana panas.

“Antara ketiga-tiga litar itu saya pilih Shah Alam sebab saya ‘dilahirkan’ di sana dan mahir dengan selok-belok trek tersebut.

“Cabaran lebih kurang sama di Pasir Gudang, cuma di Sepang saya agak kekok sedikit sebab kurang mahir dan jarang menjalani latihan di sana. Datang ke Sepang untuk berlumba sahaja,” katanya.

Dikemaskini pada