KUALA LUMPUR: Langkah Safawi Rasid akan lebih jauh selepas penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) itu hanya menunggu masa untuk melebarkan sayap ke Portugal.
Biarpun belum menandatangani kontrak, Safawi sudah mencuri tumpuan media Portugal yang menyifatkan kelab Portimonense SC bertuah bakal mendapat sentuhan antara pemain muda terbaik Asia.
Akhbar O Jogo yang berpangkalan di Porto melaporkan, penyerang kelahiran Dungun, Terengganu itu diikat selama semusim dengan pilihan melanjutkan kontrak setahun lagi. Yuran perpindahan bagaimanapun tidak didedahkan.
Kelab itu, yang beraksi dalam liga utama Portugal, Liga Primeira sudah mengikuti perkembangan Safawi sejak enam bulan lalu sebelum memutuskan untuk mengikatnya.
“Portimonense SC yakin tidak ada masalah untuk mengikat Safawi Rasid kerana Theodoro Fonseca (pemilik kelab) mempunyai hubungan baik dengan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Kebetulan, Tunku Ismail juga mempunyai baik dengan Cristiano Ronaldo dan pernah bertemunya di Turin (Juventus),” tulis O Jogo.
Akhbar itu mendakwa, perjanjian sudah dimeterai kelmarin, namun JDT dalam Facebook Johor Southern Tigers sebaliknya berkata, ia masih di peringkat perbincangan.
Pengarah Sukan Kelab Bola Sepak JDT, Martin Prest bagaimanapun mengakui, pihaknya sedia melepaskan Safawi demi mengembangkan karier pemain itu ke Eropah.
“Kami tidak dapat mendedahkan perincian tawaran kerana rundingan akhir masih dijalankan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook JST.
O Jogo yang menggelar Safawi sebagai ‘budak emas’ Asia turut melaporkan, kelab itu berminat mendapatkan seorang lagi pemain sayap.
Menurut akhbar tersebut, jaringan cantik Safawi dalam Liga Juara-Juara Asia yang sebelum ini muncul gol terbaik kejohanan memikat Portimonense SC untuk memiliki pemain itu.
Kepantasan, teknik dan kemampuan berdepan situasi satu lawan satu yang dimiliki Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia dua musim berturut-turut itu juga kualiti yang dicari pasukan.
“Sekarang belum dapat dipastikan bagaimana Safawi akan menyesuaikan diri dengan bola sepak Portugal dan Liga Primeira tetapi jurulatih Paulo Sergio menyatakan minat untuk mendapatkan seorang pemain sayap,” kata akhbar itu.
Portimonense menutup musim lalu dengan di kedudukan ke-17 liga menerusi 33 mata.