Ibu hamil perlu tahu risiko bersalin luar hospital - Utusan Malaysia

Ibu hamil perlu tahu risiko bersalin luar hospital

LENGKAPKAN diri ilmu keibubapaan dengan menghadiri kelas antenatal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap wanita yang sedang menanti saat melahirkan bayi, sudah pasti mendambakan proses bersalin atau kelahiran yang mudah serta lancar.

Sudah pasti ramai yang merancang dan menempah hospital untuk bersalin demi keselesaan bakal ibu dan bayi.

Bersalin di hospital lebih selamat dengan risiko yang rendah kerana mempunyai kelengkapan sempurna.

Nurul Wahidah Wagimon.

Bagaimanapun apa yang dirancang tidak semestinya berlaku kerana ada sesetengah wanita mengalami proses bersalin begitu mudah sehingga melahirkan anak di dalam kenderaan atau di rumah kerana tidak sempat ke hospital seperti yang dirancang.

Persoalannya, mengapa ada sesetengah wanita begitu mudah melahirkan bayi? Terasa sedikit sakit perut, bayi sudah pun keluar. Berbanding sesetengah wanita ada yang terpaksa menunggu berjam-jam lamanya untuk bayi keluar.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Canselor Tunku Muhkriz UKM, Dr. Nurul Wahidah Wagimon berkata, menurut statistik, dianggarkan lima dari 1,000 wanita di Malaysia, melahirkan bayi di luar hospital.

“Ia boleh berlaku mungkin disebabkan tidak sempat sampai ke hospital. Ada segelintir wanita dan suami masing-masing memilih untuk bersalin dengan kehadiran peneman bersalin di rumah atau pun doula.

“Namun begitu kelahiran bayi yang terlalu pantas ataupun dikenali sebagai precipitate labour juga, tidak dinafikan boleh memberi komplikasi terhadap ibu dan bayi,” katanya.

Proses bersalin yang sangat cepat ini kebiasaannya berlaku dalam tempoh tiga jam dari kontraksi pada rahim sehingga kelahiran.

Bagi wanita yang pernah bersalin, sejarah kehamilan yang lalu sangat berkait rapat dengan kehamilan terkini.

Bermakna, jika dulu susah bersalin, kelahiran seterusnya pun kemungkinan besar juga akan sukar.

“Sekiranya wanita mudah melahirkan bayi sebelum ini, pada kehamilan terkini juga sudah tentu akan lebih mudah. Selain itu, proses kelahiran yang dibantu dengan ubat-ubatan induced labour juga dapat mempercepatkan proses bersalin.

Antara beberapa sebab mengapa seseorang wanita mudah melahirkan, ialah penghidap penyakit kronik dan penyakit darah tinggi yang tidak terkawal.

Penyakit darah tinggi yang tidak terkawal boleh menyebabkan uri lekang (placental abruption) dan menyebabkan risiko melahirkan bayi dengan sangat cepat (precipitate labour).

“Faktor bayi itu sendiri juga boleh menjadi punca mengapa proses bersalin berjalan dengan mudah. Antaranya bayi yang mengalami pertumbuhan yang terbantut ketika dalam kandungan.

“Bayi ini biasanya mempunyai berat badan ringan iaitu kurang dari 2.5 kilogram (kg). Faktor saiz bayi yang agak kecil ini juga sedikit sebanyak akan memudahkan proses kelahiran bagi ibu,” katanya.

Risiko melahirkan di luar hospital

Seperti sedia maklum, proses kelahiran di luar hospital tanpa dibantu oleh doktor perubatan mahupun jururawat terlatih sangat berisiko tinggi bagi ibu dan bayi.

“Antara risiko boleh menimpa ibu akibat bersalin di luar hospital adalah perdarahan yang tidak terkawal selepas bersalin berikutan proses pengecutan rahim yang tidak sempurna.

“Seandainya tidak ditangani dengan pantas, sudah tentu ia boleh mengancam nyawa ibu. Koyakan pada faraj sehingga ke lubang dubur ataupun koyakan pada pangkal rahim juga boleh terjadi seandainya proses kelahiran bayi berlaku dengan sangat cepat,” katanya.

Risiko jangkitan ke atas bayi

Bayi dilahirkan di luar hospital turut terdedah dengan risikon jangkitan kuman.

Ia boleh berlaku akibat peralatan digunakan untuk pemotongan tali pusat yang tidak dinyah kuman.

“Kelahiran bayi pramatang iaitu sebelum 37 minggu di luar hospital, boleh menyebabkan masalah pernafasan kepada bayi. Sekiranya hal ini tidak ditangani dengan cekap dan pantas, ia boleh mengakibatkan kekurangan oksigen kepada bayi. Selain itu, ia boleh memberi impak yang sangat fatal atau kematian bayi.

“Namun begitu, tidak dinafikan sesetengah ibu yang tidak sempat sampai ke hospital, tidak mengalami sebarang komplikasi yang berbahaya. Bersyukurlah seandainya anda salah seorang daripada ibu berkenaan,” katanya.

Langkah awal suami jika isteri bersalin di luar hospital

* Kekal tenang dan temani ibu sepanjang proses kelahiran.

* Dapatkan bantuan daripada orang sekeliling untuk menghubungi ambulan atau hospital berhampiran.

* Kenal pasti masalah kesihatan ibu sepanjang kehamilan agar dapat memudahkan tugas paramedik yang datang memberi bantuan.

* Elakkan memotong tali pusat dengan peralatan yang tidak dinyah kuman (tidak steril).

* Sekiranya bayi dilahirkan, pastikan bayi kekal hangat dalam pelukan ibu untuk mengelakkan kehilangan haba dari tubuh badan bayi.

* Ibu disarankan agar tidak panik dan mulakan sentuhan dari kulit ke kulit bayi. Pemberian susu badan segera selepas melahirkan di dalam kereta, dapat membantu pengecutan rahim dengan baik dan dapat mengurangkan risiko perdarahan selepas bersalin.

Elakkan bersalin di luar hospital

* Bagi ibu-ibu yang hampir bersalin anda disarankan untuk mengenal pasti tanda- tanda awal proses bersalin dan datang segera ke hospital seandainya anda mempunyai sejarah kelahiran yang sangat cepat (precipitate labour).

* Suami dan keluarga terdekat disarankan sentiasa menemani ibu disaat-saat akhir sebelum tempoh bertemu dengan si permata hati.

* Sebaiknya pasangan disarankan menyimpan nombor klinik kesihatan mahupun hospital berhampiran untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku kecemasan.

* Perkasakan diri dengan ilmu kelahiran dan keibubapaan dengan menghadiri kelas antenatal bagi mempersiapkan diri, mental dan fizikal untuk menyambut kedatangan permata hati yang bakal memeriahkan hari-hari mendatang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya