Arowana garang tambat hati Eiman

Arowana garang tambat hati Eiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebalik sisik berkilau dan gerakan tenang di dalam akuarium, ikan arowana super red kapuas mempunyai daya tarikan tersendiri yang membuatkan spesis itu menjadi pilihan dalam kalangan peminat ikan hiasan.

Sifatnya yang garang, kuat mempertahankan kawasan serta penampilan sisik yang menarik menjadikannya lebih daripada sekadar penghias akuarium.

Keunikan tersebut turut menarik minat Muhd.Eiman Imran Mohd. Syamsul, 24, yang kini memelihara ikan itu.

Berasal dari Sungai Kapuas, Kalimantan Barat, Indonesia, spesis itu sememangnya menjadi impiannya sejak kecil selepas melihat bapanya memelihara ikan.

Lebih menarik, arowana tersebut turut menunjukkan perubahan tingkah laku apabila sudah biasa dengan penjaganya, terutama apabila tiba waktu makan.

 

Garang tetapi mesra
Menurut Muhd .Eiman Imran, arowana mempunyai karakter yang berbeza daripada kebanyakan ikan hiasan lain kerana sifatnya yang teritorial dan cenderung mempertahankan kawasan sendiri.

Sifat garang serta mental yang kuat menjadi antara perkara yang membuatkannya tertarik dengan spesis berkenaan, selain keindahan sisiknya yang terserlah apabila dijaga dengan baik.

“Arowana mempunyai karakter yang tersendiri. Ia bersifat garang dan mempunyai mental yang kuat.

“Sisiknya juga cantik apabila dijaga dengan baik dan diberi diet yang betul,” katanya kepada Seri.

Namun, sifat tersebut tidak menghalang arowana miliknya daripada menunjukkan sisi yang lebih mesra terhadap penjaga.

Katanya, ikan berusia setahun itu akan mendekatinya apabila tiba waktu makan dan tidak menunjukkan sifat agresif terhadapnya.

“Apabila mahu beri makanan, ikan akan mula mendekat dan tidak agresif dengan tuan sendiri. Daripada situ saya rasa arowana boleh mengenali pemiliknya,” katanya.

Sifat teritorial itu juga menyebabkan arowana tidak boleh dicampurkan sewenang-wenangnya dengan ikan hiasan lain.

Spesies tersebut lebih sesuai dipelihara bersama ikan predator yang mempunyai karakter dan keperluan pemakanan yang bersesuaian.

Air perkara utama
Penjagaan air paling penting bagi memastikan ikan itu kekal sihat.

Muhd Eiman Imran berkata, air akuarium ditukar seminggu sekali, manakala suhu dan saiz akuarium turut dipantau bagi memastikan persekitarannya sesuai untuk tumbesaran.

Vitamin juga diberikan sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan.

“Kita kena pastikan kualiti air, suhu dan saiz akuarium sesuai dengan ikan.

“Kalau perkara asas ini tidak dijaga, ia boleh memberi kesan kepada kesihatan ikan,” jelasnya.

Selain persekitaran akuarium, pemakanan turut diberi perhatian bagi memastikan keperluan arowana dipenuhi.

Antara makanan yang diberikan ialah udang, lipas Dubia dan ulat Jerman pada waktu pagi dan petang setiap dua hari sekali.

“Diet sangat mempengaruhi tumbesaran ikan. Sebab itu saya cuba pastikan makanan yang diberikan sesuai dan seimbang,” katanya.

 

Alami penyakit

Walaupun rutin penjagaan dilakukan dengan teliti, arowana milik Muhd. Eiman Imran pernah mengalami masalah dropsi dan white spot.

Keadaan tersebut memerlukan perubahan pada rutin penjagaan termasuk penukaran air yang lebih kerap dan pemantauan rapi.

Ketika berdepan dropsi, air akuarium ditukar setiap dua hari, selain pemanas dan garam akuarium digunakan. Ikan itu turut dipuasakan dan diasingkan daripada ikan lain.

Bagi masalah white spot pula, Muhd. Eiman Imran menggunakan pemanas, garam akuarium dan ubat formalin, selain menukar air setiap dua hari.

Pengalaman tersebut membuatkannya lebih peka terhadap perubahan pada keadaan fizikal dan tingkah laku arowana.

 

Tenang bila ikan berenang
Bagi Muhd. Eiman Imran, menjaga arowana bukan sekadar memenuhi rutin harian, malah menjadi satu hobi yang memberikan ketenangan selepas seharian bekerja.

Melihat ikan itu berenang aktif dalam keadaan sihat memberikan kepuasan kepadanya, terutama apabila mengetahui bahawa keadaan tersebut adalah hasil daripada penjagaan sendiri.

“Lepas balik kerja, saya rasa tenang apabila tengok ikan itu berenang dalam keadaan sihat dan aktif,” katanya.

Pengalaman memelihara arowana juga membuatkannya semakin memahami yang setiap ikan mempunyai karakter dan keperluan penjagaan berbeza.

Daripada sifatnya yang garang dan teritorial sehinggalah tingkah laku berubah apabila sudah mengenali penjaga, keunikan arowana super red kapuas itulah yang membuatkannya terus terpikat dengan spesis berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×