Setiap pasangan yang melayari bahtera perkahwinan, tidak akan terlepas daripada ujian rumah tangga.
Ujian datang dalam pelbagai bentuk berbeza. Antaranya, masalah kewangan, kesihatan dan curang sehingga ada yang memilih untuk menamatkan dengan perceraian.
Perceraian bukan kerana benci, tetapi akibat keadaan terdesak dan semuanya hanyalah asbab.
Selama seseorang itu percaya jodoh pertemuan, ajal maut semuanya rahsia Allah, pasti yang diuji lebih tenang dan berlapang dada.
Minggu ini saya kongsikan kisah rumah tangga Erma dan Shafiq (bukan nama sebenar).
Jodoh mereka tidak kekal. Perkahwinan selama dua tahun atas dasar cinta diuji selepas Shafiq hilang pekerjaan.
Keadaan itu menggoyahkan kesetiaan Erma sebagai isteri sehingga memutuskan untuk berpisah.
“Awalnya saya bersedih dan bertahun-tahun hidup dalam sesalan selepas tindakan meminta cerai.
“Namun sedikit demi sedikit, saya belajar memujuk hati. Setiap yang berlaku ada hikmahnya,” ujar Erma dalam pertemuan baru-baru ini.
Wanita ini tidak berniat untuk membuka kisah silam, sebaliknya perkongsian ini bagi memberi pengajaran kepada isteri yang sedang diuji dalam rumah tangga.
Bekas suaminya kini sudah membina keluarga baru.
Anak hasil perkahwinan mereka terdahulu, Danish (bukan nama sebenar) sudah dewasa dan selesai majlis konvokesyen pada bulan lalu.
Bekas suaminya turut hadir sebagai bapa yang tidak pernah culas pada tanggungjawab.
“Saya semakin yakin jodoh pertemuan itu semuanya ditentukan Allah.
“Punca kami bercerai hanyalah asbab. Alhamdulilah, walaupun berpisah hubungan masih baik demi anak,” ujarnya.
Selepas beberapa bulan berpisah, bekas suaminya mendapat pekerjaan baru.
Menyambung cerita, kata Erma, 25 tahun yang panjang, tetapi penyesalan itu tetap ada setiap kali mengenangkan keputusan paling berat dalam hidupnya.
Keputusan itu diambil ketika dia tertekan dan hilang keyakinan terhadap rumah tangga.
“Saya menyesal kerana membiarkan emosi mengatasi pertimbangan ketika itu.
“Saya sendiri meletakkan noktah kepada rumah tangga yang dibina,” ujarnya.
Dia teringat saat meminta cerai daripada bekas suami. Terlalu cepat membuat keputusan. Sepatutnya dia bersabar.
Erma tahu bekas suaminya bukan lelaki jahat.
Dia seorang yang penyayang dan bertanggungjawab.
Ujian kewangan itu datang pada waktu yang tidak disangka.
Bercerita lanjut kata Erma, dulu dia dan suami hidup sederhana.
Namun segalanya berubah apabila Shafiq hilang pekerjaan,
Anak mereka ketika itu baru berusia dua tahun.
Erma pula bekerja di sebuah klinik dengan pendapatannya sekadar untuk membantu suami.
Tekanan datang dari semua arah. Bil-bil utiliti tertunggak, sewa rumah dan ansuran kereta.
Akibatnya, mereka sering bertengkar. Shafiq cuba mencari pekerjaan, namun rezeki belum berpihak kepadanya.
“Saya seolah-olah tidak nampak usaha suami, apa yang saya nampak, tiada masa depan untuk saya dan anak bersamanya.
“Ketika itu hati saya benar-benar rapuh dan goyah,” akuinya.
Kemuncak kepada hubungan mereka apabila pada suatu hari dia akhirnya meminta cerai. Tanpa mempersoalkan apa-apa Shafiq setuju .
Menurut Erma, bukan dia tidak sayang, tetapi sudah tidak mampu lagi mempertahankan rumah tangga.
Shafiq membawa diri pulang ke kampung halamannya di utara.
Bekas suami berjanji untuk menunaikan tanggungjawab sebagai bapa selepas dia mendapatkan pekerjaan.
Menurut Erma, selepas bercerai dia tidak pernah berkahwin semula.
Bukan tiada lelaki yang cuba mendekati dan melamar, tetapi dia belum bersedia.
Walaupun Shafiq sudah bergelar suami dan bapa kepada keluarga baru, tanggungjawab kepada Danish tidak pernah gagal.
Perasaan Erma ketika itu sedih bercampur gembira.
Dia bukan cemburu, jauh sekali berharap bekas suaminya itu kembali.
“Saya kesal, saya tidak sabar saat diuji. Sepatutnya saya berada di sisi suami bila dia dalam kesusahan,” ujarnya.
Sesekali Erma berfikir, jika dahulu dia memilih untuk bersabar, mungkin dia masih menjadi isteri Shafiq.
Masa tidak akan berputar kembali. Penyesalan tidak mampu membina semula rumah tangga yang hancur.
Penyesalan itu mengajar Erma untuk lebih matang dalam membuat keputusan.
“Saya menyesal kerana tidak bersama ketika suami memerlukan seorang isteri di sisi.
“Sesekali ketika mengatur pertemuan dengan anak untuk bertemu dengan bapanya, ada perasaan rindu yang terselit. Tetapi saya cepat-cepat sedar, jodoh kami setakat itu sahaja,” ujarnya tanpa berselindung.
Kata Erma, apa yang dilalui secara tidak langsung seperti Allah membuka pintu hatinya untuk memaafkan diri sendiri.
“Kami memilih untuk menebus kesilapan dan kekurangan lalu dengan membesarkan Danish penuh kasih sayang.
“Walaupun tidak lagi bergelar suami isteri dan kehidupan masing-masing berubah, satu yang tidak pernah berubah adalah kasih sayang terhadap Danish,” ujarnya.
Jelasnya, bekas suami tetap hadir pada fasa penting , setiap kali Danish memerlukan bapanya.
Dia sedar yang Shafiq sebenarnya lelaki yang tidak pernah lari daripada tanggungjawab.
Cuma dulu, dia diuji dengan ujian rumah tangga yang sangat berat.
Erma juga tahu hubungan mereka tidak akan kembali seperti dahulu. Masa sudah mengikat mereka dengan takdir berbeza. Jodoh mereka setakat itu sahaja.
“Saya tetap menyimpan penghargaan kepada bekas suami.
“Membesarkan Danish seorang diri bukan mudah, tetapi perhatian dan tanggungjawab yang tidak dilupakan bekas suami membuatkan bebanan terasa ringan,” ujarnya.
Kata Erma lagi, dia dan bekas suami tidak menyalahkan antara satu sama lain atas apa yang berlaku.
Mereka sudah saling memaafkan dan enggan mengungkit kisah silam.
Masing-masing kini melangkah ke hadapan dengan hati yang lapang dan yakin dengan perancangan Allah.
“Kita hanya merancang, Allah sebaik-baik perancang,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.
Seperti juga maut, jodoh juga sudah ditakdirkan Allah SWT.
Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya, ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu kasih dan sayang. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir,”(Ar Rum:21).










