KOTA KINABALU: Langkah memperkasakan Mahkamah Anak Negeri termasuk menjadikan jawatannya sebagai jawatan tetap adalah satu ‘game changer’ atau pencetus perubahan yang amat diperlukan rakyat Sabah.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran manifesto BN Sabah selari dengan penghormatan terhadap struktur pentadbiran negeri.
Katanya, pengiktirafan baharu itu bukan sahaja mengangkat martabat institusi Mahkamah Anak Negeri, malah memastikan kelangsungan dan kestabilan sistem kehakiman adat yang menjadi tunjang penting masyarakat Sabah.
“Mahkamah Anak Negeri akan diperkasakan dan jawatannya akan diserap sebagai jawatan tetap. Ini merupakan game changer yang pada hemat saya, rakyat Sabah amat memerlukan. Kerajaan Persekutuan amat menghormati perkara yang termaktub dalam pembangunan Sabah,” katanya ketika ditemui media selepas pelancaran manifesto BN di sini, hari ini.
Terdahulu, BN melancarkan tawaran manifesto BN Rancangan Pembangunan Sabah Satu yang mengandungi enam kerangka merangkumi kesejahteraan ekonomi rakyat, wanita dan orang muda, pendidikan, transformasi politik, negeri kebajikan dan kelestarian sumber.
Antaranya memperkasakan Mahkamah Anak Negeri dengan memastikan Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri diterajui oleh Pribumi yang memahami dan arif tentang undang-undang serta adat tempatan dan akan meneliti semakan gaji dan cadangan agar kakitangan Mahkamah Anak Negeri dilantik sebagai kakitangan tetap kerajaan.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menggariskan cabaran besar Sabah dalam isu peluang pekerjaan, khususnya kadar pengangguran yang tinggi di negeri itu.
“Terdapat satu per lima pengangguran di Malaysia ini disumbangkan oleh Sabah. Ertinya kira-kira hampir 20 peratus daripada pengangguran di Malaysia datang dari Sabah. Sebanyak 169,000 penganggur ini adalah dari Sabah,” katanya.
Katanya, BN memberi penekanan terhadap pembangunan ekosistem TVET berimpak tinggi bagi memastikan anak muda Sabah memiliki kemahiran relevan yang boleh membuka peluang pekerjaan baharu.
Beliau berkata, keupayaan menarik pelaburan asing (FDI) bergantung kepada penyelesaian tiga serangkai utama yang menjadi penghalang kepada pertumbuhan ekonomi, kecekapan tenaga kerja, kesediaan infrastruktur dan kestabilan dasar.
“Pelabur luar tidak akan datang jika tiga serangkai ini tidak diselesaikan. Sebab itu saya yakin BN Sabah sangat bertekad bagi memastikan ia dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik untuk anak muda Sabah, dengan menunjukkan komitmen lebih menyeluruh terhadap aspek kesejahteraan rakyat.-UTUSAN










