SOSOKNYA seperti kanak-kanak berusia dua tahun, dengan ketinggian hanya 86 sentimeter.
Tetapi bakat melukisnya melangkaui angka berkenaan apabila mampu menghasilkan pelbagai karya seni termasuk yang berukuran 90 sentimeter tinggi dan lebar.
Sukar membayangkan bagaimana seorang wanita bertubuh kerdil akibat penyakit jarang jumpa, Mucopolysaccharidosis jenis 4 (MPS 4) ini mampu melukis pada kanvas gergasi.
Ditambah pula dengan serangan vertigo yang setia mendampinginya, hampir setiap masa.
Walaupun kepalanya pening dan persekitaran berpusing-pusing, namun Nur Fariza Abu Hassan, 39, tetapi teguh melukis.
Kekurangan tidak membantutkan impiannya untuk bergelar pelukis versatil.
“Dulu, saya takut melukis atas kanvas besar sebab kekangan kena duduk dan bangkit dari lantai berulang kali.
“Kini ia tidak lagi mustahil. Saya berjaya mengatasi ketakutan terbesar yang ditanggung selama bertahun-tahun,” katanya kepada Seri baru-baru ini. Sejak 2006 hingga kini, lebih 200 karya seninya terjual dengan yang termahal bernilai RM1,700.

Bakat luar biasa dimiliki membolehkan anak keempat daripada lima beradik ini diundang ke empat pameran lukisan anjuran pelbagai organisasi.
Antaranya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 2019 diikuti di pusat beli belah Publika (2020), Muzium Telekom (2022) dan terbaharu di Pusat Beli Belah Bangsar (BSC), September lalu.
“Pertama kali menerima jemputan daripada penganjur, saya sukar percaya kerana ia sesuatu yang tidak pernah dibayangkan dalam hidup.
“Namun teruja sebab ada yang berminat dan menghargai karya pelukis kecil seperti saya,” katanya.
Sentuhan jemarinya istimewa kerana kepakarannya menguasai setiap teknik lukisan.
“Segelintir orang mungkin fokus pada teknik tertentu tetapi saya suka semua jenis lukisan sama ada potret, abstrak, makanan, bunga-bungaan mahupun pemandangan.
“Apa sahaja yang dirasakan menarik, saya akan abadikan di atas kanvas,” katanya. Baginya seni lukis menjanjikan keseronokan dan kepuasan tiada tandingan walaupun ada ketikanya mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan.
MPS JENIS 4
Lantaran faktor kesihatan, Nur Fariza hanya melukis dalam tempoh tertentu. Rutinnya bermula selepas waktu makan tengah hari, selama kira-kira tiga jam, setiap hari.
“Kalau kanvas kecil, aktiviti melukis dibuat di atas meja dan kerusi khas manakala bagi yang besar, prosesnya dilakukan di lantai.
“Dalam tiga jam itu, saya selang-selikan dengan rehat kerana saya mudah penat dan pening,” katanya. Nur Fariza diagnosis dengan MPS jenis 4 sejak lahir dengan tumbesarannya terbantut pada usianya enam tahun.
Penyakit genetik itu turut menyerang adiknya, Ahmad Faiz, 30. Sehingga kini, doktor masih tidak mengetahui punca sebenar penyakit itu dan kes mereka dirujuk dengan pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Dari kecil hingga kini, kami perlu menjalani pemeriksaan berkala di hospital bagi memantau tahap kesihatan memandangkan MPS jenis 4 tiada penawar,” katanya.

Keluarga merupakan tulang belakang kejayaan Nur Fariza, yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi.
Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia berpeluang mendalami bidang seni yang diminati sejak kecil.
“Emak berusaha mencari dua cikgu seni dan muzik untuk mengembangkan lagi bakat serta kemahiran saya.
“Jika terlibat dengan pameran, abang-abang sanggup mengambil cuti untuk menghantar saya ke setiap lokasi.
“Adik pula sentiasa nasihatkan saya untuk tidak putus asa terutama bila saya down akibat vertigo,” katanya. Kehadiran mereka umpama anugerah melengkapkan hidupnya di sebalik kekurangan dialami.
Sebagai perancangan masa depannya, Nur Fariza berharap dapat menghasilkan lebih banyak lagi karya yang versatil.
Malah, dia turut sudi berkongsi serba sedikit ilmu melukis bagi yang mahu mendalami seni itu.
“Saya tak pandai mengajar orang tetapi kalau ada yang mahu bertanyakan tentang itu ini, saya boleh kongsikan,” katanya.
BEN AMIR BELI LUKISAN
Lima tahun lalu, kisah Nur Fariza pernah tular gara-gara potret artis Ben Amir yang dilukisnya. Keindahan sentuhannya mendorong pelakon berkenaan berkunjung ke rumahnya bagi membeli karya istimewa itu, pada 2019. Menariknya, ia merupakan potret pertama yang dihasilkan setelah mengikuti kelas dengan seorang pelukis. Disebabkan masih hijau dalam teknik itu, tempoh dua minggu diambil untuk menyiapkannya.
“Sebenarnya niat saya untuk hadiahkan padanya tetapi dia bersungguh-sungguh mahu beli,” katanya. Selain Ben Amir, wanita ini turut melakar potret selebriti seperti Datuk M. Nasir, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Puan Seri Tiara Jacquelina, Neelofa dan Gambit Saifullah.
MAHIR MAIN PIANO
Jemari kecil Nur Fariza bukan hanya ligat menari di kanvas bahkan melompat di papan kekunci piano.
Selama lima tahun dia mengikuti kelas muzik berkenaan hingga selesai gred 6. Kini, semua genre lagu boleh dimainkannya jika diberikan rujukan not.
“Masa awal-awal belajar tidak susah sangat tetapi bila naik gred, makin lama makin mencabar.
“Saya ambil masa dua tahun untuk mahir, walaupun kena banyak berlatih tetapi saya seronok sepanjang bermain piano,” katanya yang gemar memainkan alunan perlahan seperti Winter Sonata, You’re My Everything dan Leaving On A Jet Plane.

ILMU PENTING
Ibu Nur Fariza, Salbiah Mustafa, 72, berkata, penerapan ilmu dan kemahiran amat penting untuk anak-anak istimewa meningkatkan tahap keyakinan mereka Ujarnya, langkah itu dapat menggalakkan golongan berkenaan bersosial dan tidak rasa sunyi dengan hanya duduk sahaja di rumah.
Pendedahan tersebut diberikan kepada dua anaknya selepas masing-masing tamat SPM.
“Nur Fariza tidak mahu sambung dalam akademik kerana minatnya lebih terarah kepada seni lukis dan muzik.
Manakala Ahmad Faiz pula berjaya tamat Diploma Teknologi Maklumat (IT) dari Open University Malaysia (OUM) dan kini bekerja sebagai penulis web bagi permainan video,” katanya yang memanjatkan rasa syukur dengan kejayaan keduadua anak istimewanya yang mampu berdikari dan memiliki pendapatan sendiri.
“Nur Fariza dan Ahmad Faiz tidak sentiasa bergantung dengan keluarga. Mereka dilayan seperti orang normal, mereka boleh urus diri sendiri. Saya cuma sediakan makan minum sahaja,” katanya.










