KULIT mengelupas setelah memakai produk kosmetik timbang kilo merupakan antara pengalaman ngeri dilalui sepanjang hidupnya.
Kesilapan itu menjadi tangkal azimat buatnya untuk mendidik masyarakat agar tidak mengulangi jejak langkah sama demi menjaga kulit wajah dan kesihatan diri.
Walaupun berdepan kecaman, perjuangan ahli farmasi, Siti Hawa Mohd. Nor, 33, dalam melawan produk timbang kilo sejak enam tahun lalu kini dianggap membuahkan hasil.
Beliau yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Kanan Program Perkhidmatan Farmasi di Cawangan Penggunaan Ubat Berkualiti, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati semakin ramai pengguna mengambil berat ramuan sesuatu produk sebelum membeli.
Kian ramai celik tentang bahaya produk mengandungi racun berjadual seperti merkuri, hidrokuinon dan tretinoin.
Misinya kini diteruskan ke fasa kedua iaitu menggalakkan pengguna menggali ilmu bagi membezakan antara kosmetik yang baik dan sebaliknya.
“Sekarang saya kurang bercakap tentang produk timbang kilo kerana sudah ramai yang sedar tentang akibat buruknya.
Fokus kini adalah mendidik pengguna mengenai bagaimana memilih produk kecantikan atau kosmetik yang tepat.
“Paling penting, teliti kandungan bahan sebelum membuat pembelian kerana ia membantu dalam mengenal pasti produk sesuai dan berkesan dengan masalah atau keperluan peribadi.
“Jika berjerawat gunakan produk yang mengandungi asid salisilik, manakala kalau mahu hilangkan jeragat, pilih produk dengan niacinamide,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Produk timbang kilo merujuk kepada kosmetik mengandungi bahan terlarang dan boleh menyebabkan kesan serius seperti merosakkan fungsi buah pinggang dan sistem saraf, malah boleh meresap ke saluran darah serta menjejaskan kandungan bagi wanita hamil.
Ada dua cara mengesan kesahihan produk itu iaitu menerusi tekstur krim yang berwarna putih atau oren berkilat di samping menyemak noti kasi dengan KKM.
Dalam pada itu, beliau menepis dakwaan kononnya kosmetik tempatan tidak berkualiti dan bersifat timbang kilo sebaliknya banyak banyak yang dipasarkan setanding jenama antarabangsa.
“Dahulu orang selalu menuduh kosmetik tempatan sebagai timbang kilo tetapi sebenarnya banyak produk kita yang bagus-bagus.
“Perkembangan positif itu dapat dilihat daripada segi penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan di kilang berdaftar, malah ada yang diformulasikan di Korea,” katanya
TAKUT MUKA HODOH
Antara halangan terbesar untuk seseorang berhenti menggunakan produk timbang kilo ialah takut wajah mulus bertukar ‘hodoh’.
Situasi itu turut dilalui Siti Hawa apabila lebih setahun terjebak dengan set penjagaan wajah popular dari Indonesia.
“Saya beli dan guna selepas terpengaruh dengan kesan positif dialami rakan.
“Bila tahu ia beracun, saya tidak hentikan penggunaan secara serta-merta kerana bimbang muka jadi lebih teruk daripada keadaan asal, sebaliknya saya teruskan pakai tetapi kuantitinya dikurangkan. Saya ambil masa selama beberapa bulan untuk berhenti sepenuhnya,” katanya.

Walaupun sudah kurang aktif di media sosial berbanding di peringkat awal, Siti Hawa mengakui masih menerima banyak komen berkaitan produk kosmetik dan makanan tambahan.
“Kebanyakan mahu pengesahan sama ada ubat cantik, putih dan kurus yang mereka gunakan itu okay atau tidak,” katanya. Melihat kepetahan wanita kecil molek ini berbicara, sama seperti karakternya dalam video-video dipaparkan di platform ML Studio milik sahabat baiknya, Mat Luthfi.
Justeru tidak hairanlah video-videonya mampu meraih tontonan tertinggi melebihi 200,000 hingga tular ke Indonesia terutama berkaitan krim timbang kilo dan doula.
Daripada seorang yang tidak dikenali, hidupnya berubah sekelip mata dengan memiliki hampir 450,000 pengikut di platform Instagram.

HASIL VIDEO RELEVAN
Mengulas mengenai kerjaya sebagai Penolong Pengarah Kanan Program Perkhidmatan Farmasi, Siti Hawa berkata, skop tugasannya tertumpu kepada pendidikan orang awam termasuk penghasilan video-video oleh ahli farmasi di Tiktok.
Malah kini dalam usaha menghasilkan lebih banyak video pendidikan yang relevan dan menarik.
“Cabarannya adalah bagaimana mahu menjadikan video itu ditonton dan dikongsi masyarakat sebagaimana yang dihasilkan oleh pempengaruh,” katanya.
Antara video dimuatnaik ialah ubat-ubatan tidak berdaftar dan suplemen selain itu, memperkasakan program pelupusan ubat yang selamat.
Tabiat pembuangan ubat ke dalam sumber air melalui sinki atau tandas boleh menyebabkan kesan pencemaran kepada alam sekitar dan membahayakan hidupan akuatik.
Sehubungan itu, pesakit disarankan memulangkan semula ubatan berlebihan atau telah luput ke hospital atau klinik kesihatan terdekat.

RIADAH DENGAN SUAMI
Melayari bahtera perkahwinan selama lima tahun, Siti Hawa bersyukur kerana memiliki suami, Faiz Farhan Roshid yang sangat memahami.
Lebih-lebih lagi dengan tuntutan tugasnya yang sibuk di samping keperluan untuk menghadiri majlis atau acara sebagai pempengaruh.
Di masa lapang, pasangan yang belum dikurniakan cahaya mata ini gemar menghabiskan masa dengan aktiviti riadah seperti mendaki bukit dan berjoging.
Rutin itu secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi rasa cinta dan hubungan kasih sayang.
“Kami macam kawan baik dan boleh bercakap, bercerita serta meluahkan apa sahaja yang terbuku di hati tanpa rasa takut. “Suami turut menyokong minat saya dalam selam skuba dan kini dalam proses mengambil lesen open water,” katanya.
Pernah bergelar surirumah selama setahun kerana mengikut suami menyambung pengajian ke United Kingdom (UK), Siti Hawa menyifatkan pengalaman itu sebagai memori terindah dalam hidupnya.
Selain dapat menambah kenalan dan mengenal budaya luar, pasangan ini berpeluang melawat ke pelbagai destinasi menarik di luar bandar.
“Sepanjang di sana, saya belajar memasak makanan kegemaran suami dengan berpandukan resipi-resipi di internet,” katanya.

JADI IDOLA REMAJA
Tidak dinafikan, kehadiran Siti Hawa membuatkan masyarakat mula mengenali kerjaya sebagai ahli farmasi.
Hinggakan, ramai yang remaja mahu melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan bagi mengikut jejak langkahnya.
“Apa jua bidang yang kita belajar, paling penting kena minat dan saya nasihatkan adik-adik buat sedikit penyelidikan tentang peluang kerjaya berkenaan di sini, dan bagaimana permintaannya di masa depan kerana di zaman saya dahulu mungkin peluang kerjaya dalam bidang kesihatan lebih mudah berbanding lima atau 10 tahun akan datang,” katanya.
Dalam masa sama, ujarnya, remaja juga boleh meneroka peluang kerjaya yang tidak stereotaip tetapi yang menawarkan gaji lumayan seperti dalam bidang teknikal.
Bagi yang mahu bergelar pempengaruh pula, pastikan untuk tidak leka dengan kemewahan hingga mengabaikan pendidikan.
“Realitinya, dunia pempengaruh tidak kekal, keindahannya. Ia hanya bersifat sementara apabila kita masih diperlukan.
“Saya harap adik-adik dapat semat dalam kiran mereka untuk mengutamakan pendidikan berbanding rupa paras kerana kelebihan itu dapat menarik jenama-jenama untuk terus memilih anda sebagai pilihan mereka,” katanya. – UTUSAN










