Sekali pandang, jambangan dalam pasu dan kotak itu kelihatan seperti bunga segar yang baru digubah.
Namun, setiap kuntum sebenarnya diperbuat daripada lilin dan dihasilkan dengan cara buatan tangan, termasuk kelopaknya yang dibentuk satu per satu supaya mirip bunga sebenar.
Bagi Nurul Azwa Zalilah, 30, penghasilan bunga lilin pada awalnya sekadar menjadi cara untuk menambah variasi produk dalam perniagaan bunga miliknya.
Berasal dari Kuantan, Pahang, dan mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kejuruteraan awam, dia mula menghasilkan bunga lilin pada awal 2025 sebelum menjadikannya sebagai salah satu sumber pendapatan utama.
“Saya tertarik dengan bunga lilin kerana ia merupakan produk yang unik, tahan lama dan mempunyai nilai eksklusif.
“Saya melihatnya sebagai peluang untuk menambah variasi produk dalam perniagaan bunga saya,” katanya kepada Seri.
Minatnya terhadap seni dan kraftangan pula bukanlah sesuatu yang baru apabila mula berputik sejak 2018.
Sejak itu, dia gemar meneroka pelbagai hasil seni dan kraftangan sebelum akhirnya memberi tumpuan kepada penghasilan bunga lilin.

Bermula dengan ros, daisi, tulip
Ros, daisi dan tulip menjadi antara bunga pertama yang dihasilkannya ketika mula mencuba membuat bunga lilin.
Ketiga-tiga bunga itu digubah dalam kotak dan pasu, sekali gus menjadi percubaan awalnya untuk mengenali teknik serta karakter lilin yang digunakan.
Walaupun masih dalam proses belajar, pengalaman tersebut menjadi titik permulaan untuknya terus mengasah kemahiran dan menghasilkan gubahan yang lebih baik.
Dia banyak belajar sendiri menerusi media sosial dengan merujuk pelbagai teknik serta perkongsian daripada penggiat bunga lilin, khususnya dari luar negara.
Dalam masa sama, Nurul Azwa turut menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mencari formulasi bancuhan lilin yang sesuai untuk menghasilkan bunga.
“Selama kira-kira tiga bulan, saya bereksperimen dengan pelbagai formulasi bancuhan lilin sehingga berjaya menghasilkan bancuhan berkualiti dan sesuai untuk dipasarkan,” jelasnya.
Seminggu siap
Setiap kuntum memerlukan beberapa peringkat untuk disiapkan sebelum boleh digubah menjadi jambangan.
Menurut Nurul Azwa, proses bermula dengan membancuh lilin mengikut formulasi sehingga larut sebelum ditimbang dan dicampurkan dengan pewarna.
Bancuhan kemudian dikacau sehingga sebati sebelum suhunya dipantau dan minyak wangian dimasukkan secara perlahan.
Selepas itu, lilin dituangkan ke dalam acuan yang disediakan dan dibiarkan mengeras selama kira-kira satu jam.
Lilin yang sudah mengeras perlu melalui proses curing selama tiga hingga empat hari sebelum boleh digunakan untuk membentuk bunga.
Antara bahan yang digunakan ialah lilin, pewarna, minyak wangian dan sumbu, manakala peralatan pula termasuk wax melter, heat gun, penimbang digital, termometer, acuan, bekas bancuhan serta peralatan membentuk bunga seperti cutter, pisau dan alat mengubah bunga.
Selepas lilin sedia digunakan, barulah proses membentuk kelopak dan menggubah bunga mengikut rekaan yang ditetapkan dilakukan.
Keseluruhan proses itu mengambil masa antara lima hingga tujuh hari untuk disiapkan.
Namun, bunga yang mempunyai banyak lapisan kelopak memerlukan lebih banyak masa dan ketelitian kerana setiap satunya perlu dibentuk dengan kemas supaya seimbang dan realistik.

Cabaran warna
Nurul Azwa berkata, cabaran terbesar dalam menghasilkan bunga lilin ialah mendapatkan tona warna tepat supaya bunga kelihatan semula jadi dan realistik.
Cabaran itu lebih ketara apabila pelanggan memberikan gambar bunga hidup sebagai rujukan dan mahukan warna hampir sama.
“Saya perlu mencampurkan warna dengan teliti untuk mendapatkan tona yang paling hampir.
“Selain itu, sesetengah bunga belum mempunyai acuan, jadi saya perlu menghasilkan sendiri melalui percubaan dan R&D,” jelasnya.
Dalam masa sama, proses mengendalikan bancuhan lilin panas juga memerlukan perhatian dan ketelitian kerana boleh mendatangkan risiko keselamatan jika tidak dikendalikan dengan betul.
Untuk memastikan setiap kelopak bunga nampak kemas, cantik dan seakan-akan bunga asli, Nurul Azwa memastikan bancuhan lilin tepat, memilih tona warna menarik serta menghasilkan gubahan yang sesuai.
Buat berulang kali
Dalam menghasilkan bunga lilin, tidak semua percubaan menjadi seperti yang diharapkan.
Nurul Azwa pernah berdepan dengan hasil yang tidak menepati jangkaannya, terutama apabila bertukar pembekal lilin atau bahan mentah.
Menurutnya, setiap pembekal mempunyai kualiti dan karakter bahan berbeza menyebabkan dia perlu melakukan ujian serta menyesuaikan semula formulasi yang digunakan.
“Kalau hasilnya tidak menepati jangkaan, saya tidak akan jual. Biasanya saya gunakan sendiri di rumah dan hasilkan semula sehingga puas hati dengan kualitinya,” ujarnya.
Dalam masa sama, permintaan pelanggan turut memberikan cabaran untuknya menghasilkan rekaan berbeza.
Pernah seorang pelanggan meminta bunga lilin menyerupai bunga lili walaupun ketika itu belum mempunyai acuan yang sesuai.
Keadaan tersebut memerlukan lebih banyak kajian, percubaan dan ketelitian untuk mendapatkan hasil diingini.

Pelbagai sumber rujukan
Selain mengikut permintaan pelanggan, dia turut membuat rujukan melalui katalog bergambar serta mengikuti trend bunga dari dalam dan luar negara.
Media sosial seperti Instagram, TikTok, YouTube dan Pinterest juga menjadi antara sumber inspirasinya untuk menghasilkan rekaan baharu.
Setiap idea kemudian diolah mengikut identiti jenama dan kesesuaian gubahan.
Dia juga pernah menerima tempahan khas daripada kenamaan untuk dijadikan hadiah dan cenderamata.
Setiap rekaan disesuaikan mengikut tema, warna dan cita rasa penerima.
Antara rekaan yang mendapat sambutan pelanggan ialah bloom box, bloom vase, everbloom bouquet dan glory box yang sesuai dijadikan hadiah untuk hari lahir, konvokesyen, penghargaan serta pelbagai majlis istimewa.
Sumber pendapatan
Pada awalnya, penghasilan bunga lilin menjadi ruang untuknya berkreativiti dan menghilangkan stres.
Namun, minat tersebut akhirnya berkembang menjadi kerjaya sepenuh masa apabila dia mula menerima tempahan dan menjual hasil karyanya.
Menurutnya, bunga lilin mempunyai potensi kerana sifatnya yang tahan lama dan boleh dipos ke seluruh Malaysia tanpa menjejaskan kualiti.
Kini, lebih 5,000 produk bunga lilin jenama Lumiwa berjaya dijual dalam tempoh dua tahun.
“Walaupun kini ia merupakan kerjaya sepenuh masa, saya masih menikmati setiap proses penghasilan bunga lilin.
“Perkara yang paling menyeronokkan ialah melihat hasil akhir yang seakan-akan bunga asli.
“Saya juga puas apabila pelanggan gembira dengan hasil gubahan,” katanya.

Anjur bengkel
Daripada sekadar menghasilkan bunga lilin untuk pelanggan, Nurul Azwa turut menyimpan hasrat untuk berkongsi kemahiran yang dipelajarinya dengan orang lain.
Dia merancang untuk mengadakan kelas dan bengkel bagi membolehkan lebih ramai mempelajari seni tersebut.
“Saya berharap dapat berkongsi ilmu dan pengalaman yang dikumpulkan melalui proses R&D serta pengalaman membangunkan jenama Lumiwa,” katanya.
Bukan itu sahaja, dia juga mahu memperluaskan rangkaian produk bunga lilin dan menjadikan jenamanya sebagai pilihan pelanggan dalam industri perniagaan bunga dan hadiah.
Setiap gubahan yang dihasilkan bukan sekadar hiasan, sebaliknya sebuah karya seni yang memerlukan ketelitian dalam setiap perincian.











