SEMUANYA bermula dengan melihat putaran gasing bersama bapa. Siapa sangka, momen kecil itu akhirnya membuka laluan kepada sebuah dunia yang lebih luas dan penuh makna.
Bagi Intan Azura Al Zahra Abdullah, 28, kenangan itu masih segar dalam ingatan. Sewaktu kecil, dia sering menemani arwah bapanya bermain gasing tradisional, lengkap dengan tali yang perlu dililit sendiri.
“Dulu masa kecil, saya selalu ikut ayah main gasing. Saya cuba lilit tali sendiri sebab itu gasing tradisional.
“Bila bermain sekarang, kenangan bersama arwah pada tahun 2003 itu kembali terbayang. Sudah lama, tapi masih jelas,” kongsinya kepada Seri.
Nostalgia zaman kanak-kanak itu perlahan-lahan berkembang menjadi minat yang lebih serius ketika Intan melanjutkan pengajian di universiti.
Sekitar 2018, Intan mula berjinak-jinak dengan beyblade, bermula dengan versi generasi sebelumnya, Beyblade Burst. Pada mulanya, ia sekadar aktiviti santai dengan bermain bersama rakan dan menyertai beberapa pertandingan kecil tanpa tekanan untuk menang.
Namun, segalanya berubah apabila dia didorong untuk menyertai satu pertandingan secara serius.
Penyertaan pertama itu membuahkan hasil yang tidak disangka apabila Intan muncul juara. Kemenangan tersebut menjadi pencetus semangat untuk terus mendalami dunia beyblade.
“Minat itu datang secara santai. Bukan kerana dorongan yang kuat, tapi lebih kepada keseronokan,” jelasnya.
KUMPUL BEYBLADE
Intan juga aktif mengumpul beyblade. Baginya, koleksi itu bukan sekadar mainan, tetapi simbol pencapaian, pengalaman bertanding dan perjalanan peribadi dalam sukan ini.

Setiap beyblade mempunyai ceritanya sendiri dengan ada yang dimenangi melalui pertandingan, ada juga yang dibeli selepas menunggu lama keluaran terbaharu di pasaran.
Setiap kali memperoleh beyblade baharu, Intan akan mengujinya dalam sesi latihan, berbincang dengan pemain lain dan menilai sama ada ia benar-benar sesuai untuk menggantikan Beyblade dalam deck sedia ada.
“Kalau mahu kira jumlah keseluruhan, memang susah sebab satu kotak penuh koleksi. Tapi yang paling istimewa bagi saya ialah Silver Dran Sword,” katanya.
Menariknya, setiap eyblade hadir dengan keunikan tersendiri dengan ada yang berputar ke kiri, ada ke kanan, lengkap dengan rekaan haiwan laut atau darat seperti dalam anime.
Setiap satu membawa karakter dan kisah yang berbeza.
Bagi Intan, beyblade juga merupakan alat pembelajaran strategi. Setiap komponen, sama ada untuk serang, pertahanan, stamina atau keseimbangan, semuanya mempunyai fungsi tersendiri.
Gabungan yang berbeza akan menghasilkan prestasi berbeza, menjadikan setiap perlawanan satu eksperimen baharu.

Biasanya, Intan memberi dirinya sekitar dua minggu untuk memutuskan sama ada mahu membeli beyblade baharu.
Namun, kebanyakan masa dia memilih untuk memilikinya bagi memperkukuh deck dan mencuba strategi baharu.
“Beyblade lama atau yang terlalu banyak, saya akan hadiahkan kepada pelajar atau pemain muda yang belajar daripada saya. Walaupun beli guna duit sendiri, saya anggap itu sebagai perkongsian ikhlas,” katanya.
LATIHAN HUJUNG MINGGU
Bagi Intan, beyblade bukan sekadar hobi kosong. Ia menuntut disiplin, fokus dan latihan berterusan.
Dengan komitmen kerja dan keluarga, hujung minggu menjadi masa paling sesuai untuk mengasah kemahiran.
Setiap Jumaat petang hingga hujung minggu, Intan akan menumpukan sepenuh perhatian kepada latihan sekali gus dapat melepaskan seketika rutin harian dan tekanan kerja.
“Kalau boleh, setiap minggu saya akan pegang beyblade. Sekurang-kurangnya untuk pastikan teknik tak hilang,” katanya.
Latihan bukan sekadar memutar gasing. Ia melibatkan strategi pelancaran, penyesuaian kombinasi komponen dan pengujian teknik berbeza.
Rutin ini penting bagi memastikan setiap pertandingan dapat dihadapi dengan penuh keyakinan.
Walaupun kadangkala mencabar dari segi fizikal, latihan hujung minggu ini membantu Intan membina fokus, kesabaran dan ketekunan, selain menjadi nilai yang turut memberi kesan positif dalam kehidupan seharian.
PENTAS PERTANDINGAN
Bagi Intan, dunia beyblade tidak terhenti pada sesi latihan. Penyertaan dalam pertandingan, sama ada berskala kecil atau besar, menjadi medan untuk menguji kemahiran, strategi dan ketahanan mental.

“Setiap perlawanan adalah proses pembelajaran. Ada masa menang, ada masa tewas. Tapi setiap satu beri ruang untuk perbaiki diri,” katanya.
Persiapan rapi sangat penting iaitu daripada pemilihan komponen sehinggalah perancangan strategi untuk menghadapi pelbagai jenis lawan. Tekanan untuk melakukan pelancaran tepat di hadapan penonton, termasuk berdepan situasi tidak dijangka seperti pelancar rosak, menuntut ketenangan dan kebijaksanaan membuat keputusan pantas.
Dalam masa yang sama, pertandingan membuka ruang untuk Intan berinteraksi dengan komuniti beyblade, berkongsi ilmu dan memberi inspirasi kepada pemain baharu, termasuk kanak-kanak dan wanita untuk menyertai arena yang sebelum ini lebih sinonim dengan lelaki.
Bagi Intan, kemenangan bukanlah segalanya. Pengalaman, strategi dan semangat untuk terus belajar jauh lebih bermakna.
MENGUKIR PENCAPAIAN
Dalam arena kompetitif beyblade, Intan sudah membina namanya sendiri. Antara pencapaian paling membanggakan ialah kejayaannya muncul sebagai naib juara G1 SEA Cup 2024 iaitu kejohanan kebangsaan pertama seumpamanya.
Pencapaian itu bukan sahaja meletakkannya dalam senarai ranking, malah menjadikan Intan wanita pertama yang berjaya menembusi ranking kejohanan tersebut, satu pencapaian yang jarang berlaku dalam komuniti yang didominasi lelaki.
Dia juga mara ke peringkat akhir X-Titan Championship, berada dalam kelompok Top 32 dan muncul sebagai satu-satunya peserta wanita di peringkat itu, sekali lagi membuktikan keupayaan teknikal dan mentalnya.
Di peringkat berpasukan, Intan bersama pasukannya menjuarai acara Clash of Legends (Team Battle), menambah satu lagi kejayaan dalam senarai pencapaiannya. Selain aktif dalam kejohanan rasmi G2, dia turut mencatat 10 kejuaraan dalam siri G3, satu rekod yang jarang dicapai oleh pemain wanita di peringkat tempatan.










