Manjakan kerbau, kambing macam anak

Manjakan kerbau, kambing macam anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT kemesraan antara wanita ini dengan haiwan ternakannya, seolah-olah wujud satu ikatan kasih yang sukar dijelaskan dengan kata-kata.

Bukan setakat memeluk dan mencium, bahkan Norsalasati Said, 54, atau mesra disapa Achik Ala turut duduk bersantai bersama kerbau, lembu dan kambing di padang ragut.

Tanpa sedikit pun rasa geli atau takut, dia bersandar di sisi kerbau dan lembu kesayangan sambil mengusap lembut tengkuk serta badan haiwan itu.

Dalam masa sama, turut memangku dan menepuk-nepuk manja anak kambing berusia tiga bulan yang digelar Ogos.

Kesemua ternakan itu bagaikan memahami gerak-geri dan patuh terhadap kata-kata Norsalasati.

Buktinya, ada yang terlentok manja di pangkuannya, manakala yang lain pula tenang berbaring di sisi.

Gelagat jinak 40 ekor ternakan itu seolah-olah menggambarkan ia hanyut dalam belaian kasih sayang ‘ibu’.

Kata Norsalasati, minat memelihara ternakan itu bermula sejak 10 tahun lalu dengan dibantu suaminya, Zamri Salim, 57, bersama tiga anak dan menantu.

Selain menjadi sumber pendapatan keluarga, aktiviti ini juga sebahagian daripada hobinya.

Lebih-lebih lagi selepas anak-anak berpindah ke ibu kota kerana tuntutan kerja.

“Dengan adanya kerbau, lembu serta kambing ini, sekurang-kurangnya dapatlah saya menghilangkan kebosanan dan hati pun lebih ceria.

“Semua ternakan ini sudah dianggap seperti anak sendiri, ada masa saya membebel, berborak, bagi nasihat dan macam-macam lagi,” katanya yang menetap di Bentong, Pahang.

Faham, patuh arahan
Walaupun ternakan tidak boleh berkata-kata, namun Norsalasati percaya ia boleh memahami arahan dan nasihatnya.

Paling ketara apabila haiwan itu tidak bergaduh dan dapat duduk bersama dengan tenang.

“Orang cakap lembu dan kerbau tidak boleh bergabung nanti haru-biru jadinya, tetapi situasi itu tidak berlaku di sini.

“Mungkin sebab saya selalu pesan pada ‘anak-anak’ jangan buat kacau, hidup aman damai, hormat-menghormati dan saling menyayangi terutama dengan ‘adik-adik’ yang masih kecil.

“Tidak sangka rupa-rupanya ia benar-benar faham dan sampai sekarang tidak pernah ada pergaduhan di padang ragut,” katanya.

Ketika ditanya rahsia untuk menjinakkan haiwan-haiwan itu, Norsalasati menjelaskan dia hanya berselawat dan bercakap lembut.

Gabungan selawat dan kasih sayang konsisten membuatkan ternakan patuh serta tenang.

“‘Anak-anak’ pun sudah biasa melayan karenah saya yang suka bergambar dan merekod video.

“Sekarang, semuanya pandai bergaya sambil memandang kamera.

“Bila dengar selawat, sampai terlentok kepala masing-masing dengan mulut terkumat-kamit seolah-olah turut sama berzikir,” katanya tersenyum.

Malah, dia turut membaca buku dan mengait di padang ragut dengan ditemani ‘anak-anaknya’ itu.

Tatapan generasi akan datang
Setiap momen-momen indah bersama ‘anak-anak’ ternakannya itu dimuat naik di platform TikTok, Hari-hari ado cerito.

Dengan cara itu, dia bukan sekadar menyimpan kenangan peribadi tetapi turut berkongsi pengalaman dengan masyarakat.

Secara tidak langsung dapat mendekatkan haiwan ternakannya dengan orang ramai.

“Dalam masa sama, saya mahu mendidik kanak-kanak supaya kenal dengan lembu, kerbau dan kambing.

“Bila mereka tengok keseronokan bermain dengan haiwan-haiwan ini, sekurang-kurangnya dapatlah melupakan gajet buat seketika.

“Malah, ibu bapa pun dapat mengimbau nostalgia zaman kecil bermesra dengan ternakan ini di kampung,” katanya.

Latih sabar
Memelihara ternakan melatih Norsalasati menjadi lebih bersabar terutama dalam menjiwai karenah dan keperluan setiap haiwan.

Semasa hari pertama menjaga kerbau, dia ‘dibuli’ naik ke bukit.

Situasi itu berlarutan keesokannya tetapi dengan jarak yang lebih tinggi hingga membuatkan dia hampir hilang sabar.

“Bila tiga hari berturut-turut mendaki bukit untuk memanggilnya balik, lama-kelamaan, hilang segala penat.

“Tanpa disedari, hubungan makin mesra dan saya dapat keyakinan setiap haiwan.

“Selepas itu, saya cuma perlu menjerit sahaja dan ia lari bertempiaran balik ke kandang,” katanya.

Walaupun kerbau dan lembu dianggap berbahaya, tetapi dia dan keluarga tidak pernah berdepan kecederaan akibat disondol.

Rakam sendiri
Setiap video yang dimuat naik di TikTok bukan hasil tangan orang lain, semuanya dirakam sendiri oleh Norsalasati.

Berbekalkan tripod dan alat kawalan jauh kamera, dia memulakan kerja-kerja rakaman mengikut cita rasa dan ideanya.

“Proses merakam tidak susah, biasanya dibuat selepas selesai semua kerja-kerja rutin di kandang.

“Kebanyakan video pun tidak memerlukan suntingan dan terus dikongsikan di TikTok,” ujarnya.

Namun, ada ketikanya berlaku kejadian luar jangka seperti tripod patah dilanggar kerbau.

Tidak hairanlah dia memiliki puluhan kelengkapan itu sama ada dibeli sendiri mahupun dihadiahkan rakan-rakan.

Bagaimanapun, peralatan utamanya iaitu telefon pintar, masih lagi dalam keadaan baik dan tidak terjejas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN